Seo Services

Isteri KM Sarawak Antara Tiga Dianugerah Timbalan Pesuruhjaya Rela Kehormat


SIBU: Isteri Ketua Menteri Sarawak Puan Sri Jamilah Anu merupakan antara tiga personaliti yang dianugerahkan pangkat Timbalan Pesuruhjaya Rela Kehormat pada sambutan Ulang Tahun Ke-44 Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) peringkat kebangsaan di Dataran Perbandaran Sibu 2 di sini hari ini.

Dua lagi penerima ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Datuk Amar Awang Asfia Awang Nassar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohammad Moshidi Abdul Ghani.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dalam lawatan dua hari ke negeri ini, dan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem menyempurnakan pemakaian pangkat kehormat itu kepada mereka.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Rela Datuk Kamariah Mohd Noah.

Terdahulu, ketika berucap, Kamariah berkata semua rekrut baru Rela akan tertakluk kepada pemeriksaan yang ketat daripada polis, anti-dadah dan Jabatan Pendaftaran Negara untuk memastikan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau atau penyalahgunaan dadah serta merupakan warganegara Malaysia.

"Kita amat menitikberatkan pengambilan anggota yang tepat. Kita hanya mahukan anggota yang berkualiti dan berdisiplin kerana kita sedang berhadapan dengan tanggungjawab dan tugas yang semakin mencabar di negara ini," katanya.

Kamariah berkata beliau gembira apabila setakat ini, 24 kementerian dan jabatan telah melantik anggota Rela untuk menjaga keselamatan mereka.

"Ini menunjukkan pergerakan ini semakin mendapat pengiktirafan yang sewajarnya," katanya.- BERNAMA
Isteri KM Sarawak Antara Tiga Dianugerah Timbalan Pesuruhjaya Rela Kehormat Isteri KM Sarawak Antara Tiga Dianugerah Timbalan Pesuruhjaya Rela Kehormat Reviewed by uMieySurianie on January 30, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.