Seo Services

Jumlah Pelaburan Dilulus Tinggi Cermin Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR: Jumlah pelaburan dilulus yang tinggi sebanyak US$34.4 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun lepas mencerminkan keyakinan pelabur terhadap Malaysia hasil daripada kestabilan politik serta kesinambungan dan kepastian dasar, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed, yang menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland berkata, kejayaan pelaksanaan pelan transformasi ekonomi dan kerajaan menyumbang kepada kestabilan makroekonomi dan peningkatan tadbir urus serta integriti.

"Malaysia memiliki prasarana bertaraf dunia. Kepelbagaian ekonomi dan eksport meluas kita memberikan tahap daya tahan kepada negara dalam berdepan cabaran sekarang susulan penurunan harga minyak dan pertumbuhan perlahan ekonomi global," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Mustapa berkata Malaysia juga komited ke arah penyepaduan ekonomi ASEAN dan Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang akan menjadikan negara lebih menarik kepada pelaburan asing.

Menurutnya, ramai pelabur dan ketua korporat di Davos yakin dengan potensi manfaat TPP dan Komuniti Ekonomi ASEAN memandangkan peningkatan akses pasaran dan pengurangan halangan perdagangan bagi perniagaan dan pelaburan mereka di Malaysia.

Beliau juga menjadi hos majlis makan tengah hari perniagaan yang dianjurkan bersama oleh Miti, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Dewan Perniagaan Switzerland-Asia, untuk mempamerkan penawaran Malaysia kepada perniagaan dan pelabur antarabangsa.

Majlis makan tengah hari itu dihadiri 56 eksekutif perniagaan asing dan 20 tokoh korporat utama Malaysia termasuk Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd, Tan Sri Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group Bhd Datuk Izzaddin Idris.

Pada majlis itu, Mustapa berkongsi perkembangan terkini ekonomi Malaysia dan memaklumkan tentang langkah-langkah yang diambil untuk mengukuhkan paras fiskal dan monetari dalam menangani situasi ekonomi sekarang.



-- BERNAMA
Jumlah Pelaburan Dilulus Tinggi Cermin Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia Jumlah Pelaburan Dilulus Tinggi Cermin Keyakinan Pelabur Terhadap Malaysia Reviewed by Unknown on January 22, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.