Seo Services

Polis Tahan Bekas Banduan, Berjaya Selesai 12 Kes Kecurian


KUCHING: Polis percaya telah menyelesaikan 12 atau lebih kes pecah rumah dan kecurian di Padawan dan Kuching yang menggunakan modus operandi yang sama, setelah menahan seorang bekas banduan berusia 27 tahun menerusi Op Pintu semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata tangkapan itu dibuat berikutan beberapa kes pecah rumah dan kecurian yang dilaporkan berlaku di Satok pada Selasa lepas.

Beliau berkata dalam kejadian di Satok, suspek lelaki yang tidak bekerja itu berjaya memasuki rumah mangsa dengan mengalihkan bidai tingkap di bahagian belakang rumah tersebut.

Beliau berkata antara barang yang dicuri suspek ialah wang tunai, barang kemas dan telefon bimbit.

"Bertindak atas maklumat, pada pukul 3 petang semalam, pasukan polis dari ibu pejabat JSJ D8 dan D4 diketuai oleh ASP Shuib Abdul Samat menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kudei Baru di sini dan menahan suspek yang berada di dalam rumah itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dev berkata antara barang curi yang dijumpai di dalam rumah itu ialah telefon bimbit, laptop, kamera dan beberapa peralatan elektronik.

Beliau berkata suspek telah menerima hukuman empat bulan penjara atas kesalahan pecah rumah dan kecurian tahun lepas dan dibebaskan pada November 2015.

"Sebaik sahaja dibebaskan, suspek menyambung kembali kegiatan jenayahnya dan setakat ini telah melakukan 12 kes pecah rumah dan curi di kawasan Kuching dan Padawan.

"Suspek yang bersendirian itu bergerak menggunakan kereta Kancil hampir setiap malam mencari sasaran. Biasanya suspek akan melakukan kegiatan jenayah itu sekitar pukul 3 ke 4 pagi ketika penghuni rumah yang disasarkan sedang lena tidur," katanya.

Dev berkata suspek memecah masuk menerusi pintu atau tingkap belakang yang tidak mempunyai jeriji dan hanya mencuri barangan kecil dan ringan yang mudah dibawa seperti telefon bimbit, laptop, jam tangan, beg tangan dan barang kemas.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya mengambil berat mengenai tahap keselamatan di rumah mereka sekaligus menyukarkan penjenayah melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang. - BERNAMA




Polis Tahan Bekas Banduan, Berjaya Selesai 12 Kes Kecurian Polis Tahan Bekas Banduan, Berjaya Selesai 12 Kes Kecurian Reviewed by uMieySurianie on January 29, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.