KUCHING : Lembaga Kemajuan Industri Pekebun Kecil Getah Malaysia (RISDA) merancang untuk memajukan projek ladang ternakan lembu di kawasan berhampiran Skim Penempatan Semula Bengoh (BRS), kira-kira 40 kilometer dari sini.
Pengerusinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata projek berkenaan akan dibangunkan secara usaha sama oleh sebuah syarikat swasta Afiz Group of Companies dan syarikat milik penduduk BRS, Koperasi Riden Jaya Kuching.
Beliau berkata projek berkenaan akan dibangunkan di kawasan tanah yang diberi oleh kerajaan negeri kepada penduduk BRS, iaitu satu hektar bagi setiap keluarga.
"Projek ini dibangukan bertujuan menyediakan aktiviti ekonomi serta meningkatkan pendapatan penduduk, khususnya di BRS," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) projek itu antara tiga syarikat berkenaan di sini semalam.
Majlis menandatangani itu disaksikan Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak Datuk Dr Jerip Susil, Zahidi dan pengerusi Koperasi Riden Jaya Kuching, Sakau Sanyok.
Zahidi berkata RISDA akan berperanan memberi khidmat nasihat kepada peserta projek dengan membangunkan sebuah pusat penyelidikan di kawasan seluas 20 hektar di BRS.
Beliau berkata kertas kerja mengenai projek berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan dan berharap ia dapat dimulakan pada tahun ini.
"Projek berkenaan bukan sekadar penternakan lembu, tetapi juga untuk membangunkan usahawan tani dengan menyediakan latihan yang diperlukan kepada penduduk di BRS," katanya.
Sementara itu, Zahidi berkata RISDA sedang memantau kawasan di negeri ini untuk tujuan penanaman semula getah dengan penyaluran peruntukan berjumlah RM65 juta kepada RISDA negeri ini.
Beliau juga meminta pekebun-pekebun kecil yang tidak memiliki surat hak milik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) supaya mendaftar dengan RISDA agar mereka dapat dibantu.
Katanya setakat ini hanya 76,000 pekebun kecil di Sarawak yang sudah berdaftar dengan RISDA berbanding 500,000 di Semenanjung. - Bernama
RISDA Rancang Bangunkan Ladang Lembu Di Skim Penempatan Semula Bengoh
Reviewed by Unknown
on
January 22, 2016
Rating:

No comments: