KUCHING - Pelaksanaan sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) Mei nanti dilihat akan turut membantu menyelesaikan masalah kenderaan dari negara jiran yang tidak membayar saman.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Ismail Ahmad berkata ketika ini kenderaan dari Singapura yang masuk ke Malaysia tidak mempunyai rekod.
"Sekarang ini kereta dari Singapura yang masuk ke Malaysia tidak ada rekod sebab itu kereta Singapura yang melakukan kesalahan apabila mereka berada di Semenanjung...bebas tidak bayar saman dan boleh keluar masuk ke negara kita.
"Jadi apabila kita laksanakan VEP nanti semua kereta yang melakukan kesalahan di negara kita dia tidak boleh balik sehingga urusan saman itu dibayar," katanya dalam sidang media di sini Selasa.
Terdahulu beliau merasmikan pembukaan kaunter pusat sehenti untuk urusan pendaftaran kenderaan baharu secara dalam talian di N.B Motors Trading Sdn Bhd di sini hari ini.
Pembukaan pusat sehenti ketiga seumpamanya selepas pembukaan di Perodua, Petaling Jaya tahun lepas dan Ngu Chung Beng & Sons Corporation, Sibu semalam di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertujuan membantu syarikat dan pihak industri automotif negara mempercepatkan urus niaga pendaftaran kenderaan baharu di samping mengurangkan kos dan karenah birokrasi.
Mengulas lanjut, Ismail berkata selain mengenal pasti kenderaan negara jiran yang tidak membayar saman, sistem VEP itu nanti akan turut membantu JPJ mengawal dan menangani sindiket kereta klon.
Katanya tahun lalu pihaknya menyita 760 kereta klon namun percaya masih banyak kenderaan berkenaan berada dan digunakan di negara ini.
"Apabila sistem VEP dilaksanakan nanti semua kenderaan dari Singapura yang masuk ke negara ini perlu didaftarkan... isu kereta klon akan dapat dikawal dan menangani sindiket kereta klon di negara ini," katanya.
Ismail berkata kebanyakan pemilik kenderaan klon mengetahui bahawa kereta yang dibeli itu adalah kereta klon.
Beliau berkata urusniaga membeli kereta klon biasanya dijalan secara tunai memandangkan tiada institusi kewangan yang memberi pinjaman memandangkan kenderaan berkenaan tiada sebarang dokumen.
"Kita minta orang ramai jangan terpedaya dengan tawaran menarik memiliki kenderaan mewah dengan harga yang murah tetapi sesetengah pembeli itu saya yakin mereka tahu itu kereta klon tetapi mereka masih membeli kerana tawaran harga yang cukup menarik.
Seharusnya mereka tidak terpedaya dan cuba elakkan membeli kereta klon kerana implikasi besar kepada keselamatan pembeli serta kaum keluarga mereka," katanya.
Ismail menegaskan memiliki kenderaan klon merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan juga Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. - Bernama
Sistem VEP Bantu Selesaikan Masalah Kenderaan Negara Jiran Tidak Bayar Saman
Reviewed by Unknown
on
January 26, 2016
Rating:
No comments: