Seo Services

Bot Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Ditahan


Foto Ihsan APMM

GEORGETOWN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang menahan empat nelayan Indonesia yang menceroboh perairan negara di Pulau Kendi, dekat sini, petang semalam.

Ketua Penguatkuasa Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Laksamana Pertama Maritim Kamaruszaman Abu Hassan, berkata sepasukan penguatkuasa yang menjalankan rondaan pada 2 petang semalam, mengesan sebuah bot nelayan asing dalam keadaan mencurigakan.

"Bot nelayan itu ditahan pada kedudukan 39 batu nautika barat daya Pulau Kendi dengan jarak kira-kira 36.4 batu nautika dari sempadan antarabangsa Malaysia-Indonesia," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata semasa pemeriksaan ke atas bot nelayan itu, terdapat empat lelaki iaitu seorang tekong serta tiga awak-awak berusia antara 25 dan 30 tahun dan mereka mendakwa tidak menyedari telah masuk ke perairan negara.

"Alasan itu tidak boleh diterima kerana mereka telah masuk jauh ke perairan negara, empat nelayan dan bot mereka ditahan dan dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Batu Maung untuk tindakan lanjut," katanya.

Kamaruszaman berkata sementara itu, hasil tangkapan ikan lebih 100 kilogram yang terdapat dalam bot nelayan itu dilelong manakala bot bersama peralatan menangkap ikan disita APMM.

Katanya, APMM akan meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan undang-undang terutama di kawasan sempadan perairan negara bagi mengelak aktiviti pencerobohan haram terus berleluasa.

"Pihak kami sering menerima aduan daripada nelayan tempatan mengenai pencerobohan nelayan asing secara haram, sebab itu kita sentiasa jalankan rondaan dan meningkatkan operasi di sempadan perairan," katanya sambil meminta orang ramai segera menyalurkan sebarang maklumat mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan Malaysia. - BERNAMA

Bot Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Ditahan Bot Nelayan Indonesia Ceroboh Perairan Ditahan  Reviewed by uMieySurianie on February 01, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.