SIBU: Berkuatkuasa 1 Februari, levi pekerja asing bagi sektor pembuatan dan pembinaan meningkat sehingga dua kali ganda iaitu antara RM1,250 kepada RM2,500.
Bagi sektor perkhidmatan juga mengikut kadar levi yang baharu berbanding sebelum ini RM1,850, manakala sektor perladangan dan pertanian pula perlu membayar RM1,500.
Bagaimanapun, penstrukturan semula itu tidak melibatkan levi pembantu rumah warga asing apabila kadarnya kekal pada tahap RM410.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan perkara ini berkata, kajian semula terhadap kadar levi itu akan memberi pendapatan tambahan RM2.5 bilion kepada kerajaan.
Kadar baharu itu seiring dengan pengubahsuaian Bajet 2016 yang diumumkan Perdana Menteri minggu lalu apabila, katanya, pekerja asing akan dikategorikan di bawah dua sektor berbanding enam sebelum ini.
Ahmad Zahid berkata, penstrukturan semula dilakukan susulan 2.135 juta pekerja asing berdaftar memperoleh pelbagai manfaat sepanjang bekerja di negara ini termasuk subsidi makanan dan perkhidmatan lain.
"Ia juga bagi membolehkan kita mengawal dan menguruskan pekerja asing di negara ini dengan lebih baik," katanya pada sidang media di sini, Ahad.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kadar baharu itu juga seiring dengan senario ekonomi negara dan juga antarabangsa.
"Kita sedar peranan pekerja asing dalam pembangunan negara dan juga ekonomi," katanya.-mStar
Levi Pekerja Asing Naik Sehingga RM2,500 Mulai 1 Februari
Reviewed by Unknown
on
February 01, 2016
Rating:
No comments: