SAINT-DENIS, Perancis: Portugal berjuang sepenuh hati untuk memastikan tangisan Cristiano Ronaldo pada minit ke-24 diganti dengan air mata kegembiraan selepas menjuarai Euro 2016.
Portugal menewaskan Perancis 1-0 menerusi jaringan minit ke-109 Eder walaupun terpaksa bermain tanpa kelibat pemain terbaik dunia itu hampir keseluruhan permainan.
Ronaldo yang dikasari Dimitri Payet pada minit kelapan, terpaksa dirawat dua kali di luar padang tetapi akhirnya memutuskan dia tidak dapat meneruskan aksi dan diganti dengan Ricardo Quaresma.
Dengan barisan serangan Perancis yang diterajui Moussa Sissoko, Antoine Griezmann, Olivier Giroud dan Payet dilihat lebih menguasai permainan, Portu
Ketika permainan seakan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti, Portugal bangkit di akhir-akhir masa tambahan dengan serangan bertali arus ke kubu Perancis dan Eder memecah kebuntuan menerusi sepakan padu dari luar kotak penalti pada minit ke-109 yang menewaskan penjaga gol Hugo Lloris.
"Ia amat sukar kerana kami kehilangan tonggak utama dan harapan disandarkan kepadanya kerana dia adalah pemain yang mampu menjaringkan gol pada bila-bila masa," kata pertahanan Portugal, Pepe yang dinobatkan pemain terbaik perlawanan.
"Apabila dia memberitahu kami yang dia tidak dapat meneruskan permainan, saya mengatakan kepada rakan sepasukan yang kami perlu memenangi perlawanan ini untuknya. Yang kami akan berjuang untuknya."
12 tahun selepas tewas kepada Greece di laman sendiri pada penampilan final terakhir, kali ini tiba giliran Portugal untuk meranapkan impian tuan rumah.
Ronaldo yang beraksi pada final Euro 2004 ketika berusia 19 tahun menangis di atas padang selepas kekalahan 1-0 di tangan Greece itu. Dia sekali lagi mengalirkan air mata apabila tidak dapat meneruskan aksi akibat kecederaan lutut kiri awal pagi tadi.
Sebelum aksi final, Ronaldo berkata dia berharap air mata kegembiraan akan hadir selepas perlawanan dan ternyata impiannya itu menjadi kenyataan.
"Hari ini saya tidak bernasib baik kerana mengalami kecederaan di awal perlawanan, tetapi rakan sepasukan melakukan tugas mereka - mereka berlari, mereka berjuang...tidak ada sesiapa menaruh keyakinan ke atas Portugal tetapi kami menang," kata Ronaldo yang bertindak memberi kata-kata semangat kepada pasukan ketika rehat dan memberi arahan dari tepi padang selepas jaringan Eder.
Bagi Eder, ia adalah gol keempatnya untuk Portugal sepanjang 29 penampilan bersama negaranya. "Cristiano memberitahu saya yang saya akan menjaringkan gol kemenangan," kata pemain Lille itu. "Kata-katanya memberi saya kekuatan dan tenaga positif." - Bharian
Kemenangan Portugal Untuk Ronaldo
Reviewed by Azmin
on
July 11, 2016
Rating:

No comments: