SIBU: Masyarakat Bumiputera akan diberi peluang menjawat jawatan penting di dalam Majlis Perbandaran Sibu (MPS) bagi memberi ruang kaum itu bersama membangun bandar Sibu.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, kedudukan itu secara tidak langsung memberi impak yang baik untuk pembangunan masyarakat Bumiputera di sini.
“Saya memberi bayangan bahawa Ketua Menteri dan barisan kabinet dengan persetujuan daripada rakan-rakan dalam Barisan Nasional (BN) akan memberi peluang kepada Bumiputera menjawat jawatan penting dalam MPS.
“Namun begitu apa jawatan tersebut akan kita beritahu suatu hari nanti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka di Dewan MUC, semalam.
Turut hadir ialah Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi yang juga ADUN Nangka Dr Annuar Rapa’ee, Menteri Muda Kemudahan Awam (Elektrik dan Telekomunikasi) Dr Abdul Rahman Junaidi, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Temenggung Datuk Wan Hamid Adruce dan isteri Abang Johari Datin Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang.
Terdahulu, Abang Johari berserta rombongan menghadiri majlis sama di Dewan Melayu Melanau Bersatu (MMB).
Dalam pada itu, beliau juga turut menekankan bahawa kerajaan negeri komited untuk membangunkan bandar Sibu.
Katanya, usaha ini termasuk membangunkan kawasan Kemuyang dengan peruntukan sebanyak RM40 juta yang telah diluluskan kerajaan negeri.
“Kawasan ini akan dinamakan semula sebagai Nangka Baharu dan akan dilaksana dalam masa terdekat ini.
“Selain membangunkan infrastruktur kita juga akan mendirikan rumah yang terbahagi kepada rumah kos rendah dan kos sederhana dan diharap dapat merealisasikan usaha golongan muda untuk memiliki rumah sendiri,” jelasnya lagi.
Selain daripada itu, Abang Johari turut menghargai tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah memberi respons yang baik kepada usaha kerajaan negeri dalam rundingan penurunan kuasa daripada kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri diketuai Adenan akan terus berusaha mengambil balik kuasa yang telah terhakis ini kembali kepada rakyat negeri Sarawak.
“Kita berterima kasih kepada Najib kerana memberi kerjasama kepada usaha kerajaan negeri kita ini,” katanya.
Pada majlis sama Abang Johari mengumumkan geran sebanyak RM141,000 untuk menaik taraf Dewan MMB. - TheBorneoPost
Ruang Bumiputera Bersama Bangunkan Bandar Sibu
Reviewed by Azmin
on
July 11, 2016
Rating:

No comments: