Seo Services

Hanya Tinggal Tiga Badak Sumbu Sumatera Di Malaysia


KUALA LUMPUR: Badak sumbu Sumatera semakin diancam kepupusan apabila jumlah haiwan itu berkurangan kepada hanya terdapat tiga ekor di Malaysia.

Pengarah Eksekutif Borneo Rhino Alliance (BORA) Datuk Dr John Payne berkata pada masa ini, hanya terdapat seekor badak sumbu jantan dan dua ekor badak sumbu betina di Sabah.

Beliau berkata pasukan pemuliharaan berada dalam misi yang terdesak bagi menyelamatkan baki badak sumbu Sumatera itu di negara ini.

"Tiga badak sumbu Sumatera yang ada, telah ditangkap dan ditempatkan dalam kurungan untuk program pembiakan sehingga ke hari ini," katanya selepas tayangan pra-tonton dokumentari 'Uncover Malaysia' mengenai 'Operation Sumatran Rhino' di Sunway Pyramid, dekat sini Khamis.

Dr John Payne berkata ancaman terbesar dihadapi badak sumbu Sumatera itu adalah pemburuan haram menyebabkan jumlah haiwan itu hanya tinggal kepada tiga ekor di negara ini.

Beliau percaya spesis haiwan itu boleh diselamatkan melalui 'In-Vitro Fertilisation (IVF)', sambil menambah proses IVF seterusnya akan diadakan pada November tahun ini.

"BORA telah berusaha keras cuba menyelamatkan badak sumbu Sumatera yang masih ada di Malaysia. Salah satu cara ialah menangkap spesis haiwan itu yang ada di hutan, satu proses berbahaya dan kos yang tinggi, seterusnya membiak haiwan tersebut," katanya.

Menurut Tabung Hidupan Liar Sedunia, badak sumbu Sumatera adalah paling kecil dalam kalangan spesis badak dan ia satu-satunya badak di Asia yang mempunyai dua tanduk.

Badak sumbu Sumatera melahirkan seekor anak pada satu-satu masa, iaitu setiap tiga hingga empat tahun dan proses haiwan tersebut bunting adalah kira-kira 15 hingga 17 bulan.

Bagi mendorong kesedaran orang ramai terhadap nasib badak sumbu itu, Saluran National Geographic, Astro dan usaha diketuai BORA bagi menghasilkan dokumentari 'Uncover Malaysia' mengenai langkah-langkah diambil untuk menyelamatkan badak sumbu Sumatera yang diancam kepupusan itu.

Dokumentari itu akan ditayangkan dalam National Geographic Wild, saluran Astro 550 pada 8.40 malam, 19 September.

Sementara bersempena Hari Badak Sedunia pada 22 Sept, dokumentari itu akan disiarkan di National Geographic Wild, Saluran National Geographic di saluran Astro 553 dan saluran HD 573 pada 7 malam.

Operasi menyelamatkan badak sumbu Sumatera adalah sebahagian kempen 'Uncover Malaysia' yang memperlihatkan kepada aspek-aspek berbeza di Malaysia, memaparkan berita-berita budaya, seni kulinari dan proses pemuliharaan. - mStar
Hanya Tinggal Tiga Badak Sumbu Sumatera Di Malaysia Hanya Tinggal Tiga Badak Sumbu Sumatera Di Malaysia Reviewed by uMieySurianie on August 26, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.