Seo Services

Penambahbaikan 'e-Haj' Percepat Proses Ketibaan Jemaah


JEDDAH: Penambahbaikan sistem 'e-Haj' yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi telah mempercepatkan proses kemasukan ketibaan jemaah haji ketika melalui proses Imigresen dan Kastam di lapangan terbang di sini pada musim haji ini.

Pengarah Operasi Jeddah Mohamad Zamry Mohd Noor berkata melalui penambahbaikan sistem elektronik itu, kini para jemaah haji tidak lagi menunggu lama bagi melalui proses kemasukan ketika di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di sini.

"Kalau dahulu jemaah haji terpaksa menunggu sehingga lima jam untuk menyelesaikan proses pasport di Imigresen dan Kastam tetapi dengan adanya penambahbaikan itu jemaah haji hanya melaluinya bagi tempoh dua hingga tiga jam sahaja.

"Proses ini menyebabkan kaedah ketibaan jemaah haji berjalan lancar dan cepat kali ini dan mengurangkan keletihan jemaah di lapangan terbang tanpa perlu menunggu lama seperti sebelum ini," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Zamry berkata sistem e-Haj yang dilaksanakan kerajaan Arab Saudi sejak beberapa tahun itu kini ditambah baik, antaranya tiada lagi proses mencetak tiket bas.

"Kalau dahulu tiket bas perlu dicetak dan ditampal pada pasport tetapi kali ini tidak lagi kerana tiket itu telah dimasukkan lebih awal dalam sistem itu. Antara lain yang ada dalam sistem itu ketika diimbas melalui pengimbas adalah tempat hotel penginapan jemaah haji," katanya.

Beliau berkata, bagi nombor bas dan tempat penginapan, jemaah haji telah lebih awal mengetahuinya kerana ia dilekatkan bersama lencana mereka semasa di tanah air lagi.

Katanya, selain sistem e-Haj, Lembaga Tabung Haji (TH) juga mempunyai sistem khas pendaftaran jemaah haji di lapangan terbang bagi mengelak jemaah daripada tersasar dan tertinggal bas.

"Alhamdulillah jemaah haji kita tidak ada masalah melalui imigresen, kastam dan tiada yang tersasar di lapangan terbang dan ini semua telah menjimatkan masa ketika ketibaan," katanya.

Sementara itu, Pasukan Panggilan Kecemasan Peronda Lebuh Raya setakat ini menerima lima aduan kecemasan membabitkan empat kes tayar bas yang pecah dan satu aduan mengenai kerosakan pendingin hawa bas yang dinaiki jemaah haji dari lapangan terbang ke hotel penginapan.

Pengurus pasukan itu, Shafiei Sharif berkata pihaknya bagaimanapun telah bertindak dengan segera menukar tayar dan menukar bas dalam tempoh antara 45 minit sehingga 90 minit.

"Kami mempunyai sembilan petugas yang memantau perjalanan bas yang dinaiki jemaah haji seperti memastikan berhenti di tempat rehat sepatutnya serta menangani keadaan kecemasan bas yang digunakan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pengendali syarikat bas jika berlakunya sebarang kerosakan ketika dalam perjalanan. - BERNAMA

Penambahbaikan 'e-Haj' Percepat Proses Ketibaan Jemaah Penambahbaikan 'e-Haj' Percepat Proses Ketibaan Jemaah Reviewed by Unknown on August 26, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.