KUANTAN – Muhammad Safiuddin Rosli, pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Kolej Komuniti Selayang, mengharumkan nama Malaysia di Perancis apabila memenangi tempat kelima daripada 24 peserta dari 12 negara dalam ‘International Abilympics Competition’, pada Mac lepas.
Muhammad Safiuddin, 21, dari Bukit Beruntung, Selangor, yang mengalami masalah pendengaran, memenangi pertandingan berkenaan dalam kategori masakan.
International Abilympics merupakan pertandingan khas bagi golongan OKU tanpa mengira usia dari seluruh dunia dalam bidang kemahiran.
Ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian Anugerah Gemilang Politeknik dan Kolej Komuniti (AGPKK) 2016 di sini malam tadi, Muhammad Safiuddin berkata pensyarahnya Asfarul Haris dan ibu bapanya banyak memberi dorongan untuk dia berjaya dalam pertandingan itu.
Muhammad Safiuddin yang ditemuramah media dengan bantuan Asfarul berikutan sukar berkomunikasi melahirkan rasa syukur dan gembira kerana dapat mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa biarpun berdepan pelbagai cabaran.
“Saya anak sulung daripada lima beradik dan ayah saya bekerja sebagai pengawal keselamatan manakala ibu saya pula suri rumah.
“Kekurangan yang ada pada saya bukan penghalang saya menyertai pertandingan peringkat antarabangsa ini, sebaliknya menjadi satu kekuatan untuk saya terus mencuba sebaik mungkin mengharumkan nama Malaysia,” kata Muhammad Safiuddin.
Lulusan Sijil Asas Kulinari itu kini bekerja di sebuah restoran makanan segera di Kuala Lumpur dan bercita-cita untuk menjadi chef.
Sementara itu, Asfarul berkata biarpun Muhammad Safiuddin mendapat tempat kelima namun pencapaian itu membanggakan warga Kolej Komuniti kerana ini kali pertama Malaysia menghantar penyertaan bagi kategori masakan dalam pertandingan itu.
Beliau berkata mereka berdua melakukan persediaan selama enam bulan bagi menghadapi pertandingan itu dengan cabaran paling besar adalah perlu menyediakan hidangan berasaskan bahan dari negara Eropah.
“Di sini Muhammad Safiuddin perlu sesuaikan diri dengan bahan yang dia tidak biasa gunakan dan Alhamdulillah syukur, dia berjaya hingga memperoleh tempat kelima yang boleh dianggap sebagai satu kejayaan membanggakan.
“Sememangnya saya bangga melihat kejayaan dia sekarang yang dapat menjalani kehidupan seperti orang lain dan saya juga masih memantau perkembangannya termasuk berhubung dengannya serta ahli keluarganya,” katanya.
Penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching.- Bernama
OKU Dari Kolej Komuniti Harumkan Nama Malaysia
Reviewed by uMieySurianie
on
November 30, 2016
Rating:
No comments: