KUALA TERENGGANU – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu meminta orang ramai khususnya rakyat negeri ini tidak cemas berikutan penyebaran gambar air yang melimpahi jalan di beberapa lokasi di negeri ini dalam media sosial berikutan hujan lebat sejak pukul 4 pagi tadi.
Pengarah APM negeri Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, keadaan air yang melimpahi di atas jalan raya sebenarnya berlaku berikutan masalah perparitan di kawasan terbabit.
“Saya difahamkan, kerajaan negeri melalui Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meninjau sistem perparitan di kawasan yang mengalami masalah.
“APM juga akan turut membuat rondaan di kawasan dilaporkan berlaku limpahan air terutama di sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang bagi memastikan bantuan dapat diberi segera sekiranya keadaan bertambah buruk,” katanya.
Menurutnya, orang ramai tidak perlu berasa bimbang dan cemas tetapi dinasihatkan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengikut arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa. – BERNAMA
Terengganu Banjir, Rakyat Tak Perlu Cemas
Reviewed by Azmin
on
November 29, 2016
Rating:
No comments: