KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM87,000 selepas dipukau tiga wanita dipercayai warga China di hadapan sebuah klinik di Jalan Ria, Sri Petaling, di sini, awal bulan ini.
Kejadian berlaku jam 8.30 pagi pada 7 November lalu ketika mangsa dalam perjalanan ke pasar selepas disapa seorang wanita.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Luthfi Ismail Abdullah, berkata suspek kemudian mendakwa anak mangsa akan mati dalam tempoh tiga hari dan dia mempunyai cara untuk mengubatinya.
Selepas itu, seorang lagi wanita menghampiri mangsa dan menepuk bahunya yang menyebabkannya tidak sedar apa berlaku.
"Mangsa dipercayai dipukau, dibawa berjumpa dengan suspek ketiga yang juga mendakwa guru kepada dua suspek pertama.
"Mangsa kemudian menyerahkan wang tunai dan barang kemas bernilai RM87,000 kepada suspek bagi mereka melakukan upacara mengubati anaknya," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Mohd Luthfi berkata, mangsa menyedari dia ditipu sebaik tiba di rumahnya empat jam kemudian.
"Dia menyedari ditipu selepas mendapati bungkusan barang kemas serta wang tunai miliknya mengandungi dua botol air mineral serta beberapa ketul sabun," katanya.
Polis masih menjalankan siasatan dan sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan.-BH
Wanita Rugi RM87,000 Dipukau Warga China
Reviewed by Unknown
on
November 30, 2016
Rating:
No comments: