Seo Services

2 Jam Tunggu 'Sumbangan' Palsu


GEORGETOWN: Penantian selama dua jam seorang warga emas berusia 72 tahun di hadapan pintu masuk Gedung Pakaian Kamdar di Jalan Burma, di sini bagi mendapatkan sumbangan pakaian sekolah berakhir dengan kekecewaan selepas mesej yang diterimanya itu palsu.

Wanita berkenaan, Endon Abdul Majib yang tinggal di sini berkata, dia menerima mesej berkenaan Selasa lalu dan sangat gembira ke Kamdar bagi mendapatkan pakaian sekolah untuk cucunya.

“Saya kecewa selepas bertanya pekerja di Kamdar berkenaan mesej itu yang berbunyi ‘Assalamualaikum..kawan- kawan, kalau ada saudara, jiran atau kenalan yang ada anak yatim ...boleh ke Kamdar esok pukul 10 untuk terima baju sekolah’.

“Selepas menanti di sini lebih dua jam, saya tidak nampak sesiapa muncul untuk memberi pakaian kepada pelanggan yang menunggu di luar Kamdar,” katanya ketika ditemui menunggu bersama 10 yang lain di Gedung Pakaian Kamdar, di Jalan Burma di sini, semalam.

Dia menerima mesej berkenaan daripada rakannya dan tidak menyangka mesej itu palsu yang tersebar sejak beberapa hari lalu.

“Saya tidak sangka mesej itu palsu kerana ramai rakan dan saudara menerima mesej berkenaan dan mahu mendapatkan pakaian sekolah untuk anak-anak mereka.

“Selepas mengetahui perkara ini, saya yakin saudara dan rakan saya yang lain juga turut kecewa dan sedih. Saya harap pihak yang menyebarkan mesej ini perlu menghentikan segera agar orang lain tidak mengalami nasib sama,” katanya.

Sementara itu, pekerja Kamdar Jalan Burma, Noor Azidah Mohd Esope, 30, berkata, dia terkejut selepas beberapa pelanggan datang bertanyakan mesej yang diterima mereka berhubung sumbangan pakaian sekolah oleh seorang ustaz.

“Sudah lebih 20 pelanggan datang ke sini untuk bertanyakan mesej yang mereka terima berhubung sumbangan pakaian sekolah itu dan memberitahu mereka mesej itu adalah palsu.

“Pihak pengurusan Kamdar tidak mendapat sebarang maklumat mahupun dihubungi oleh pihak yang ingin memberikan sumbangan pakaian sekolah kepada orang miskin dan anak yatim,”katanya.

Jurucakap wakil pihak pengurusan Kamdar, K Kannan berkata, Kamdar hanya akan memberikan pakaian kepada pelanggan, anak yatim dan orang miskin sekiranya mendapat surat secara bertulis daripada mana-mana penyumbang dan bukannya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

“Pihak Kamdar tidak dihubungi oleh mana- mana individu berhubung sumbangan pakaian sekolah berkenaan. Sekiranya mereka ingin memberikan sumbangan, mereka perlu menghantar surat secara bertulis dan bukannya menggunakan SMS.

“Pihak Kamdar memohon agar orang ramai yang menerima mesej berkenaan supaya tidak terus mempercayainya dan mendapatkan maklumat daripada kakitangan Kamdar sendiri,” katanya.

Tinjauan Harian Metro di Gedung Pakaian Kamdar di Jalan Burma mendapati beberapa orang pelanggan menanti di hadapan pintu masuk pasar raya berkenaan dan usaha menghubungi nombor telefon yang didakwa milik seorang ustaz berkenaan juga gagal.-myMetro
2 Jam Tunggu 'Sumbangan' Palsu 2 Jam Tunggu 'Sumbangan' Palsu Reviewed by Unknown on December 22, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.