Seo Services

Atlet negara perlu mentaliti mahu menang - Khairy


KUALA LUMPUR: Kontinjen negara perlu mempunyai mentaliti mahu menang dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur ke-29 dan Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur kesembilan, yang akan berlangsung tahun depan. 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau mahu setiap atlet yang dipilih mewakili negara memastikan Malaysia sebagai tuan rumah menjadi juara keseluruhan dalam Sukan SEA, yang akan berlangsung pada 19-31 Ogos depan. 

Khairy juga mahu kontinjen Sukan SEA menghadiahkan gelaran juara keseluruhan sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-60. 

Khairy turut meletakkan sasaran bagi kontinjen paralimpik negara meraih kedudukan dua terbaik pada Sukan Para ASEAN pada 17-23 September depan. 

"Bukan satu kebetulan saya pilih hari penutup Sukan SEA pada 31 Ogos. Signifikan tarikh ini sangat besar.

Kalau saya tidak yakin dengan kebolehan atlet negara, saya akan pilih tarikh lain. "Jadi, kita (atlet) tidak boleh mengecewakan harapan rakyat. 

Malaysia bukan lagi negara bersukan sederhana tetapi sebuah negara bersukan cemerlang. Ingatlah, seluruh rakyat Malaysia mahu kita menang," katanya. 

Beliau memberi amanat kepada kontinjen Sukan SEA dan Sukan Para ASEAN pada perhimpunan atlet Kita Juara di Hotel Renaissance, di sini, malam ini. 

Khairy menegaskan, selain atlet, jurulatih dan pegawai sukan juga mempunyai misi yang sama dalam usaha menjadikan Malaysia juara keseluruhan Sukan SEA pada tahun depan. 

Pada edisi 2015 di Singapura, Malaysia menduduki tangga keempat dengan pungutan 62 pingat emas, 58 perak dan 66 pingat gangsa. 

"Setiap hari, semua atlet perlu fikir bagaimana mahu menang. Saya mahu atlet menjadi tamak dan pentingkan diri untuk meraih kemenangan, kita mesti dahagakan kemenangan itu. 

"Walaupun anda bukan prospek pingat emas tetapi ingat dalam sukan apa jua boleh berlaku," katanya. 

Khairy sekali lagi menekankan kementerian dan agensi di bawahnya tidak akan berkompromi dengan mana-mana atlet yang didapati positif doping. - BERNAMA
Atlet negara perlu mentaliti mahu menang - Khairy Atlet negara perlu mentaliti mahu menang - Khairy Reviewed by Azmin on December 21, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.