SEOUL: Kementerian Luar semalam memutuskan untuk memecat seorang diplomat yang dituduh melakukan gangguan seksual ke atas sekurang-kurangnya dua remaja perempuan ketika bertugas di Chile.
Timbalan Menteri Luar, Lim Sung-nam, menubuhkan jawatankuasa disiplin selepas diplomat bertaraf kaunselor yang dikenali sebagai Park, dirakam sebuah rancangan televisyen Chile cuba memeluk atau mencium seorang gadis dan cuba mengajak seorang lagi ke biliknya, awal bulan ini.
Selepas diarahkan pulang dan disiasat minggu lalu, kementerian mengesahkan beberapa dakwaan, selepas beliau mengakui melakukan sebahagiannya.
Kementerian juga akan mengenakan tindakan undang-undang terhadapnya.
Kedua-dua remaja perempuan itu dipercayai berusia sekitar 13 tahun, adalah pelajar kursus bahasa Korea diplomat berkenaan.
Ibu bapa kanak-kanak perempuan itu juga sudah memfailkan aduan terhadap beliau di sana.
Kejadian itu bukan saja menggemparkan masyarakat Korea di Chile tetapi juga kalangan pegawai diplomatik di sini, ketika kerajaan mengetatkan disiplin keseluruhan pejabat awam, terutama sejak Dewan Negara meluluskan usul pendakwaan terhadap Presiden Park Geun-hye awal bulan ini.
Pemangku Presiden, Hwang Kyo-ahn; Menteri Luar, Yun Byung-se dan Duta Seoul ke Chile, Yu Ji-eun sudah menghantar permohonan maaf. - AGENSI
Diplomat Korea cabul remaja bawah umur di Chile
Reviewed by Azmin
on
December 28, 2016
Rating:
No comments: