KUCHING: Kerajaan sentiasa memberi galakan dan sokongan kepada para wanita untuk terus meningkatkan kemahiran supaya mereka dapat menjana pendapatan sampingan dari rumah.
Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pembangunan Keluarga, Puan Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak telah mengambil inisiatif melatih para wanita dan ibu tunggal dengan menawarkan kursus secara percuma di Wisma Wanita Training Centre (WWTC).
"Tenaga pengajar yang dilantik adalah terdiri daripada pusat kemahiran yang diiktiraf oleh Jabatan Tenaga Rakyat (JTK).
"Bagi tahun 2016, WWTC telah berjaya melatih seramai 488 orang peserta bagi Kursus Jahitan Kreatif, 806 orang bagi Kursus Kecantikan, 805 orang bagi Kursus Masakan manakala 688 orang bagi Kursus Spa dan Urut," ujar beliau ketika merasmikan penutupan Kursus Asas Kecantikan dan Manicure Pedicure di sini, hari ini.
"Rata-rata golongan wanita pada zaman ini turut membantu keluarga menjana pendapatan sampingan untuk melangsungkan kehidupan dan jumlah penyertaan bagi kursus-kursus yang ditawarkan jelas menunjukkan betapa ramainya wanita yang berminat." kata beliau.
Menurutnya, perkara ini bukanlah sesuatu yang mustahil jika kita benar-benar berusaha, rajin dan bijak mencari peluang yang ada kerana mengusahakan perniagaan sendiri boleh dianggap jalan selamat bagi kaun hawa untuk menampung kehidupan keluarga terutama bagi mereka yang tidak bekerja.
Mengakhiri ucapannya, Hasidah menasihatkan agar kaum wanita akan terus mengambil kesempatan untuk menyertai kursus-kursus yang dianjurkan bagi membantu mereka mempelajari sesuatu yang baharu dan meningkatkan penglibatan wanita dalam menjana ekonomi Sarawak. - Sarawakiana
Kerajaan Bantu Tingkatkan Kemahiran Wanita Untuk Jana Pendapatan Sampingan - Hasidah
Reviewed by Azmin
on
December 06, 2016
Rating:
No comments: