PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata beliau mahu orang muda menyuarakan pandangan dan idea mereka bagi membantu kerajaan menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
Perdana Menteri berkata, memandangkan TN50 adalah pelan jangka panjang kerajaan yang bakal dijayakan generasi muda hari ini, mereka harus tampil dengan wawasan yang selari dengan keperluan akan datang.
"Ini pendekatan penting. Saya mahu mendengar pandangan orang muda kerana kita mungkin tidak ada lagi pada waktu itu, tetapi mereka yang ada dan akan menjayakannya (TN50).
"Mereka akan menjadi insan yang mempunyai pandangan dan idea terbesar bagi menentukan apakah hala tuju Malaysia pada tahun 2050," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pusat Pembangunan Lestari Jeffrey Sachs (JSCSD) di Universiti Sunway di sini, sebentar tadi.
Hadir sama, Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah dan Pengarah Jaringan Penyelesaian Pembangunan Lestari, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDSN), Prof Jeffrey Sachs.
JSCSD adalah hab bagi rantau Asia Tenggara untuk meningkatkan pengetahuan teknikal dan bersepadu serta bersistematik bagi melatih pelajar, pengamal dan penggubal dasar dalam bidang pembangunan lestari.
Pusat ini diwujudkan dengan kerjasama UNSDSN menerusi dana berjumlah RM44 juta daripada Yayasan Jeffrey Cheah.
Sementara itu kata Perdana Menteri, beliau yakin Malaysia berada di landasan yang tepat bagi membangun kepakaran global yang diperlukan negara dan Asia dalam memacu pembangunan lestari, khasnya untuk melindungi dan memelihara bumi.-BH
Kerajaan Mahu Pandangan Orang Muda Jayakan TN50 - PM
Reviewed by Unknown
on
December 09, 2016
Rating:
Reviewed by Unknown
on
December 09, 2016
Rating:

No comments: