KUALA LUMPUR : Walaupun berenang di laut dalam ‘kegelapan’, orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan, Faiq Adnan, 26, meraih pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat ke-32 daripada 54 peserta dari seluruh dunia yang bukan OKU dalam acara renang enam kilometer Bangkok Swimathon di Thailand, 4 Disember lalu.
Faiq turut memecahkan rekod peribadinya apabila menamatkan renangan dalam masa satu jam enam minit berbanding rekod dua jam 50 minit yang diciptanya pada acara renang 5.4 kilometer di Port Dickson pada 2013.
Rekod di Bangkok itu juga jauh lebih baik berbanding dua jam 30 minit yang disasarkan.
“Saya bersaing dengan peserta bukan OKU dari seluruh dunia seperti Amerika Syarikat, China dan Eropah pada 4 Disember lalu.
“Walaupun saya mendapat tempat 32 daripada 54 penyertaan, saya puas kerana berjaya melepasi masa yang saya sasarkan kerana sebelum ini saya jangka 2 jam 30 minit,” kata Faiq ketika dihubungi Harian Metro, semalam.
Atlet paralimpiad Pulau Pinang itu berkata, penyertaan di Bangkok adalah pencapaian terbaik sepanjang menyertai acara renang di laut.
“Hasil latihan yang diberikan oleh jurulatih, Datuk Oii Win Juat dan Oii Yee Khuan, saya berjaya habiskan acara itu tanpa sebarang kecederaan.
“Dengan izin Allah SWT, saya mahu menyertai acara renang di Labuan, Sabah pada April depan.
“Pada Mei pula, saya mahu mencabar diri dengan menyertai acara sama di sungai terpanjang di China dan Asia iaitu Sungai Chang Jiang. Sasaran saya untuk tamatkan acara renang 10 kilometer itu dalam tempoh lima jam,” katanya.-Sarawakiana
[VIDEO] : Atlet Cacat Penglihatan Atasi Perenang Normal Di Bangkok
Reviewed by Unknown
on
December 09, 2016
Rating:
Reviewed by Unknown
on
December 09, 2016
Rating:

No comments: