Seo Services

Kerajaan Prihatin Keperluan Golongan Sasar

BETONG: Usaha murni kerajaan dalam membantu golongan memerlukan merupakan fokus penting dalam menambah baik keperluan rakyat melalui Projek Bantuan Rumah (PBR) di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) 7 yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM).

Timbalan Residen Bahagian Betong Friday Belik berkata, inisiatif kerajaan yang menetapkan penyaluran bantuan di bawah NBOS 7 membabitkan agensi tertentu bagi pelaksanaan projek adalah sesuatu yang amat baik.

“Agensi-agensi yang terlibat dalam pelaksanaan projek PBR seperti Pejabat Daerah, Majlis Daerah, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), GIATMARA dan JBPM Betong.

“Ini jelas membuktikan bahawa kerajaan begitu prihatin membantu golongan sasar dengan pembabitan pelbagai agensi pelaksana dan tidak hanya satu saluran sahaja.

“Dalam program PBR ini, penerima akan mendapatkan rumah dalam kos bernilai RM50,000 untuk bina baharu. Bezanya dengan bantuan yang lain, projek ini dilaksanakan oleh anggota bomba sendiri sehingga siap.

“Di bawah agensi pelaksana seperti Pejabat Daerah, mereka menggunakan khidmat kontraktor untuk menyiapkan projek dan bantuan.

“Apapun, kita tidak mahu membandingkan kos dan kualiti binaan kerana setiap projek dan agensi pelaksana mempunyai nilai berbeza dari segi jumlah peruntukan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Rakyat Miskin, NBOS, Kejiranan Indah (My Beautiful Neighbourhood) yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Masjid Betong dekat sini, kelmarin.

Friday berkata, rakyat di Betong amat bertuah kerana banyak menerima bantuan kerajaan daripada pelbagai agensi.

“Kerajaan juga fokus memberi bantuan untuk rakyat di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) iaitu pembinaan jalan raya, balai polis, dewan, jambatan dan sebagainya.

“Ini juga menunjukkan usaha kerajaan membawa keselesaan dan untuk mentransformasikan kehidupan rakyat di luar bandar.

“Sehubungan itu, kerajaan memerlukan maklumat yang jelas daripada ketua kaum, masyarakat, kaunselor dan ketua parti untuk memberi maklum balas berhubung keperluan semasa rakyat dan kawasan-kawasan yang memerlukan projek pembangunan,” katanya.

Pada majlis tersebut, penerima bantuan Elon Saat terpilih untuk menerima bantuan dan diserahkan kunci rumah.

Turut hadir Pengarah JBPM Negeri Sarawak Norhisham Mohamad, Ketua Bomba Zon Tiga Mohamad Afiq Roslan, Ketua Balai Bomba Betong James Whelan Ngang, Ketua Balai Bomba Sri Aman William Baheng, Ketua Balai Bomba Saratok Darul Azreen Md Desa, Pemangku Pegawai Daerah Betong Paimon Fashar dan Penghulu Kampung Melayu Betong Abang Zawawie Rajit. - UB
Kerajaan Prihatin Keperluan Golongan Sasar Kerajaan Prihatin Keperluan Golongan Sasar Reviewed by Azmin on December 17, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.