KUCHING - Seorang lelaki maut akibat terseret kira-kira 18 meter selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh oleh sebuah kereta di Jalan Taman Hui Sing di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa, Jalias Ramblee, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepalanya.
Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Asisten Superintendan Mathew Manggi berkata, siasatan awal mendapati remaja lelaki berusia 17 tahun yang memandu kereta Chevrolet dikatakan mengejar mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha selepas mengesyaki dia mencuri barangan milik rakannya.
Menurutnya, insiden kejar-mengejar yang bermula dari Jalan Tawi Sli itu kemudian berakhir dengan kemalangan di Jalan Taman Hui Sing di sini.
"Akibat rempuhan kuat, mangsa tercampak ke atas jalan lalu terseret kira-kira 18 meter dari lokasi kejadian.
"Kesan daripada pelanggaran itu, mangsa maut serta-merta di tempat kejadian, namun pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Mengulas lanjut, Mathew berkata, polis telah menahan remaja terbabit untuk siasatan lanjut.
Katanya, mayat mangsa sudah dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk dibedah siasat.
"Setakat ini, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.- Kosmo
Lelaki Maut Terseret Akibat Dirempuh Kereta
Reviewed by uMieySurianie
on
December 07, 2016
Rating:
No comments: