PYONGYANG: Sebuah hotel bersaiz gergasi di Korea Utara menyambut ulang tahun yang ke-30 tahun depan dan spekulasi kini semakin kuat menyatakan 'sejarah bakal tercipta' berikutan ura-ura ia akhirnya akan beroperasi secara rasmi.
Buat kali pertama selepas bertahun-tahun, bangunan Hotel Ryugyong di Pyongyang kembali disinari cahaya, sekali gus meniup khabar angin bahawa rejim pemerintah merancang untuk menghidupkan semula hotel malang dengan 3,000 bilik penginapan itu.
Mendapat jolokan nama ‘Hotel Celaka’ kerana nasibnya yang tidak menentu selama ini, orang kuat syarikat pembangun Orascom dari Mesir telah diterbangkan ke Pyongyang untuk membincangkan tentang nasib hotel berkenaan.
Portal berita Telegraph yang memetik media tempatan melaporkan, ketua pegawai eksekutif Orascom, Naguib Sawiris, dijangka menghadiri mesyuarat itu.
Dari penilaian umum, Hotel Ryugyong adalah hotel yang sangat memalukan. Mula dibina pada tahun 1987, bangunan setinggi 105 tingkat dan berbentuk piramid itu merupakan gagasan bekas pemimpin terdahulu, Kim Il-Sung, yang bercita-cita merancakkan industri pelancongan negara tersebut.
Kos pembinaan dilaporkan menelan belanja sejumlah 470 juta pound (RM2.6 bilion), dan jika ditaksir sewaktu pembinaannya kos itu bersamaan 2 peratus nilai keluaran dalam negara kasar Korea Utara.
Bagaimanapun, projek itu terbengkalai pada tahun 1992 ketika ekonomi Korea Utara jatuh merudum sebagai impak kejatuhan Kesatuan Soviet.
Rekod penelitian daripada Dewan Perniagaan Kesatuan Eropah sekitar tahun 90-an juga mencatatkan bahawa hotel itu tidak lagi boleh dibaik pulih.
Kualiti konkrit yang teruk dan masalah teknikal di ruang lif adalah antara isu yang membelenggu bangunan itu.
Tidak ‘berputus asa’, rejim Korea Utara berkali-kali cuba memberi nafas baharu kepada hotel malang itu. Pada tahun 2008, tingkap akhirnya dipasang, dan pada tahun yang sama diumumkan tarikh pembukaan rasmi iaitu pada 2012 sempena ulang tahun ke-100 kelahiran Presiden Kim Il-Sung.
Bagaimanapun, tarikh pembukaan itu tidak dapat ditepati.
Pada tahun berikutnya, pihak pemerintah membuat rundingan dengan kumpulan Kempinski, yang menunjukkan minat untuk menguruskan hotel mewah yang kecil di aras tertinggi bangunan itu.
Namun, rundingan itu langsung tidak membawa hasil dan bangunan gergasi itu kekal kosong.
Sebahagian daripada struktur bangunan itu pernah dibuka sementara untuk berfungsi sebagai hotel, yang diusahakan syarikat berbeza, namun rata-rata para penginap memberi ulasan yang teruk mengenai pengalaman mereka.
Antara masalah yang dinyatakan para tetamu hotel itu adalah, kemudahan yang lapuk, lampu koridor yang suram, pilihan makanan yang terhad, akses internet perlahan dan kerosakan lif, selain terdapat aduan petugas hotel di bawah umur. - Awani
'Hotel Celaka' Korea Utara Mungkin Beroperasi Secara Rasmi Selepas 30 Tahun
Reviewed by uMieySurianie
on
December 07, 2016
Rating:
No comments: