Seo Services

Malaysia Benam Indonesia, Jumpa Thailand Di Final



MALAYSIA mengesahkan tempat ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Orang Pekak Asean 2016 selepas berpesta gol membenam Indonesia 10-1 pada aksi separuh akhir, di Padang C Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.

Pasukan negara, bagaimanapun dikejutkan dengan gol awal Indonesia menerusi pemain tengah, Salvador Sianipar pada minit kedua susulan kegagalan penjaga gawang negara menangkap kemas bola hasil umpanan Yongki Yamadi.

Skuad negara kembali memperkemas permainan dan hasilnya tiga gol berjaya dijaringkan untuk Malaysia mendahului 3-1 pada separuh masa pertama.

Penyerang berbisa negara Edelson Dell Evaristus paling mencuri tumpuan apabila menyumbat empat gol pada minit ketiga, 22, 55 dan 78, sementara Dojnester Francis menyumbat dua gol.

Empat lagi gol skuad negara, masing-masing dijaringkan Rabbino Lusius, Roynald Vienc Vincent, Muhammad Rahmatuddin Mohd Razali dan Amirul Naim Mat Leh.

Sementara itu, jurulatih pasukan negara Manachai Sitthisarn yakin anak buahnya mampu mencipta sejarah dengan menjulang piala berkenaan pada aksi final esok.

"Saya yakin dengan semangat juang anak buah saya, kami 100 peratus yakin untuk menewaskan Thailand esok," katanya melalui bahasa isyarat yang diterjemahkan jurubahasa skuad negara, Emmy Husain.

Malaysia akan bertemu Thailand pada aksi final setelah pasukan Gajah Putih itu menewaskan Vietnam 4-0 pada satu lagi saingan separuh akhir yang berlangsung di Padang Wisma Persekutuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Perlawanan akhir akan berlangsung di Stadium Mini Kementerian Pertahanan pada jam 4 petang esok. - Bernama
Malaysia Benam Indonesia, Jumpa Thailand Di Final Malaysia Benam Indonesia, Jumpa Thailand Di Final Reviewed by uMieySurianie on December 08, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.