Seo Services

Malaysia, Brunei Setuju Pendek Perjalanan, Masa Berurusan Di Kaunter CIQ: Najib


MIRI: Malaysia dan Brunei mencapai persetujuan secara prinsipnya bagi membantu memendekkan perjalanan dan jangka masa berurusan di lapan kaunter pemeriksaan kastam, imigresen dan quarantin (CIQ) di sempadan kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sudahpun berjumpa dengan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah untuk membincangkan perkara tersebut yang turut bersetuju pada prinsipnya dan (kedua-dua negara) akan menubuhkan satu jawatankuasa teknikal untuk mengkaji semula bagi mempermudahkan perjalanan tanpa memerlukan semakan pasport yang begitu banyak dan memakan masa.

“Ketika ini terdapat lapan pusat CIQ, empat di pihak Brunei dan empat di pihak Malaysia (Sarawak) dan rakyat kedua-dua negara yang melalui semua lapan pusat CIQ ini perlu mengecop pasport mereka sebanyak 16 kali untuk satu perjalanan.

“Jadi perkara ini sedang diteliti (oleh kedua-dua negara) dan mungkin kita akan mendapat kata putus tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya Najib memberitahu, usaha itu bagi mengurangkan kerenah birokrasi di sempadan dan akan melancarkan lagi perjalanan dan tambahan kepada kemudahan serta keselesaan rakyat apabila Lebuh Raya Pan Borneo siap sepenuhnya kelak dan menyingkatkan lagi perjalanan dari Kuching ke Lawas dan seterusnya ke Sabah.

Menurut beliau apabila fasa pertama membabitkan 11 jajaran Lebuh Raya Pan Borneo ini siap dalam tempoh lima tahun akan datang, iaitu pada 2021 kelak, maka perjalanan dari Sematan ke Miri yang mengambil masa selama 19 jam akan dapat dikurangkan sebanyak tujuh jam iaitu hanya 12 jam sahaja.

Semalam Najib melancarkan serentak pakej lapan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang bermula dari Sematan hingga ke Pujut Link Road, bernilai RM12.5 bilion.

“Lapan jajaran yang dilancarkan ini merupakan sebahagian daripada 11 pakej jajaran Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak yang kini sedang giat dilaksanakan di pelbagai kawasan di negeri Sarawak dan jajaran yang dilancarkan hari ini merupakan sebahagian daripada keseluruhan 1,089km Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak tanpa tol (bermula dari Telok Melano hingga ke Miri) dengan anggaran kos keseluruhan projek bernilai RM16.4 bilion.

Lapan jajaran dalam pakej yang dilancarkan semalam merangkumi (1) Sematan ke Jambatan Sungai Moyan sepanjang 95km, (2) Persimpangan Pantu ke Batang Skrang sepanjang 89km, (3) Batang Skrang ke Jambatan Sungai Awik sepanjang 68km, (4) Jambatan Sungai Awik ke Persimpangan Bintangor sepanjang 64km, (5) Jambatan Sungai Kua ke Jambatan Sungai Arip sepanjang 64km, (6) Jambatan Sungai Arip ke Persimpangan Bintulu sepanjang 65km, (7) Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap sepanjang 77km dan (8) Persimpangan Sungai Tangap ke Pujut Link Road sepanjang 80km.

“Berdasarkan kepada aku janji saya kepada rakyat Sarawak pada 6 April 2013 yang lalu, pelaksanaan projek mega ini membuktikan bahawa kerajaan Barisan Nasional mampu mengotakan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Kalau kita mahu melakukan transformasi dan menjamin kemajuan kepada rakyat maka kita perlu mempunyai tiga perkara utama iaitu visi dan salah satu visi untuk rakyat Sarawak ialah Lebuh Raya Pan Borneo yang akan menjadi visi yang menginspirasikan rakyatnya untuk menggerakkan hati mereka bersama-sama bagi memajukan Sarawak,” katanya.

“Kedua ialah perancangan dan tanpa perancangan yang jitu maka visi ini hanya akan berakhir di atas pentas ini sahaja dan kita membuat perancangan dengan pelbagai kementerian dan jabatan.

“Ketiga ialah kemampuan – dari peringkat kerajaan hingga kepada kontraktor dan sampai ke bahagian paling kecil sekalipun, kita mempunyai kemampuan melaksankannya apa yang dirancang,” tambah beliau lagi.

Menurut Najib, ini berbeza dengan pihak pembangkang yang hanya tahu mendabik dada dengan mengaku membuat jalan sepanjang lima kilometer, sedangkan hakikatnya mereka hanya membuat jalan 100 ela sahaja.

“Sebaliknya kerajaan Barisan Nasional (BN) kita tidak membina jalan 100 ela, kita bina jalan lebih 100 kilometer,” tegas beliau.

Bagi memastikan kelancaran pelaksaaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, kerajaan sentiasa memastikan bahawa setiap proses lantikan kontraktor dibuat secara telus melalui proses tender.

Najib menegaskan oleh kerana projek Lebuh Raya Pan Borneo adalah projek terbesar di negeri ini, maka beliau mahu seluruh peringkat masyarakat di negeri ini berkongsi dan merasai hasil projek ini dan tidak mahu ia diboikot oleh pihak tertentu.

“Limpahannya mestilah dirasai oleh segenap lapisan masyarakat negeri Sarawak dan saya diberitahu bahawa syarikat mestilah dikuasai oleh rakyat Sarawak, semua perlu membuat bidaan menerusi tender yang dibuka, bukan kontraktor yang kita suka, bukan kroni kita tetapi berdasarkan prestasi dan kecemerlangan kerja yang pernah dipamerkan,” jelasnya.

Katanya prosedur penilaian tender tersebut dibuat oleh Jawatankuasa Tender dan Jawatankuasa Eksekutif (EXCO) yang diterajui oleh Kerajaan Negeri Sarawak dan dianggotai oleh pegawai-pegawai teknikal kementerian dan agensi kerajaan persekutuan.

Najib memberitahu, Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak ini bakal memperkukuh dan memperluaskan jaringan jalan raya sedia ada dari Telok Melano, Sematan seterusnya ke bandar-bandar lain di Sarawak seperti di Lundu, Kuching, Bau, Padawan, Serian, Sri Aman, Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Selangau, Tatau, Bintulu, Simpang Bakun, Miri hinggalah ke Mengkalap-Merapok dan ke Sindumin di sempadan Sabah, Sarawak.

Ia juga bakal merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan dengan menghubungkan pusat-pusat perindustrian contohnya di kawasan perindustrian Kuala Baram dan Piasau di Miri dengan pelabuhan dan hab ekonomi Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Hadir sama pada majlis perasmian yang dihadiri lebih 6,000 orang itu, ialah Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg serta Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.-UB
Malaysia, Brunei Setuju Pendek Perjalanan, Masa Berurusan Di Kaunter CIQ: Najib Malaysia, Brunei Setuju Pendek Perjalanan, Masa Berurusan Di Kaunter CIQ: Najib Reviewed by Unknown on December 19, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.