KUCHING: Seorang lelaki terbunuh, manakala dua lagi parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dengan kemalangan yang turut membabitkan sebuah lori di Jalan Bau-Kuching di sini, semalam.
Mangsa yang maut ialah Abi Redis berusia 31 tahun dan berasal dari Kampung Podam, Bau.
Menurut sumber, mangsa semasa kejadian menunggang motosikal bersama rakannya dipercayai menuju ke tempat kerja mereka iaitu sekitar jam 7.30 pagi.
Bagaimanapun, setibanya di Kilometer 10 Jalan Bau-Kuching, sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan dipercayai hilang kawalan lalu melanggar motosikal yang ditunggangi mangsa dan rakannya.
“Difahamkan, motosikal yang merempuh motosikal mangsa juga dikatakan melanggar bampar hadapan sebuah lori sebelum tercampak ke tepi jalan.
“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa dan rakannya tercampak dari atas motosikal dan kedua-duanya mengalami kecederaan parah,” kata sumber.
Mangsa yang parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik yang hadir di lokasi kejadian.
Manakala, kedua-dua mangsa yang cedera parah kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.
“Mayat mangsa juga dihantar ke Unit Forensik Hospital Bau untuk bedah siasat,” katanya.
Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak ASP Methew Manggi ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, beliau turut mengesahkan berlaku kemalangan maut di Lundu yang menyebabkan seorang gadis berusia 18 tahun dari Kampung Siru Dayak, Lundu terbunuh.
Menurutnya, kemalangan tersebut berlaku sekitar jam 7.30 malam kelmarin ketika mangsa, Mira Famila Inson dalam perjalanan menuju ke gereja kampungnya dengan menunggang motosikal.
“Ketika kejadian, mangsa yang baharu keluar dari simpang rumahnya menuju ke gereja telah dilanggar sebuah motosikal menuju ke Sematan yang dipercayai ditunggang laju,” katanya.
Mangsa yang dirujuk ke Hospital Lundu selepas diberi rawatan kecemasan di Hospital Sematan bagaimanapun disahkan meninggal dunia dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) APJ 1987.-UB
Maut Selepas Langgar Bampar Lori Di Bau
Reviewed by Unknown
on
December 01, 2016
Rating:
No comments: