SUBANG JAYA – Seorang pemandu Uber terkejut apabila mendengar tangisan bayi selepas menurunkan penumpangnya di pangsapuri Casa Tiara, Jalan SS16, Jalan Kemajuan, lewat malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.47 malam itu, pemandu Uber menemui bayi yang lengkap berpakaian dan berbalut dengan kain berwarna hijau tertulis Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di atas tanah ketika melalui belakang pangsapuri tersebut.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, saksi menemui bayi tersebut sedang menangis dan bergerak serta terdapat sebungkus plastik berdekatan dengan bayi.
Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bayi lelaki seberat 2.85 kilogram itu berusia kira-kira dua minggu dan mengalami kembung perut.
“Pemeriksaan mendapati tali pusat bayi itu sudah tertanggal dan terdapat sedikit lebam di atas tangan sebelah kiri namun tidak pasti sama ada cedera atau tanda lahir.
“Bayi tersebut dihantar ke PPUM untuk pemeriksaan lanjut dan pihak hospital akan meneliti rekod bagi mengenal pasti indentiti ibu dan mangsa susulan penemuan kain pada bayi ketika ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, pemeriksaan dalam beg plastik tersebut menemui lampin pakai buang, mandian bayi, susu dan botol susu namun tiada dokumen ditemui dalam bungkusan tersebut.
Pemandu Uber Jumpa Bayi Bawah Pokok
Reviewed by Unknown
on
December 19, 2016
Rating:
No comments: