KUALA LUMPUR: Program Permata Negara (Permata) akan memperluaskan Program Komuniti Remaja ke Pahang, Perak dan Melaka bermula tahun depan, kata isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Rosmah yang juga penaung Permata berkata perluasan program itu akan membolehkan lebih ramai golongan remaja dapat membabitkan diri dan mendapat manfaat daripada pelbagai aktiviti yang akan dijalankan.
"Usaha murni untuk membangunkan remaja tidak akan berjaya tanpa sokongan dan pembabitan berterusan daripada semua pihak terutamanya keluarga dan masyarakat.
"Saya amat berharap program Permata dapat membantu memberikan peluang dan bimbingan untuk remaja melihat dan merealisasikan potensi masa hadapan mereka," katanya pada majlis penutupan Kem Perkasa Remaja siri 9/2016 di Pusat Latihan Kor Polis Tentera Diraja (PULAPOT), di sini hari ini.
Teks ucapan Rosmah dibacakan oleh Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang mewakili beliau bagi menyempurnakan majlis penutupan program itu dan penyampaian sijil serta cenderamata kepada 30 peserta kem.
Rosmah berkata, setiap program Kem Perkasa Remaja yang direncanakan bertujuan membimbing golongan remaja 'Mat Rempit' agar menjadi warga yang dapat memberi sumbangan positif kepada negara.
"Jujurnya, saya amat prihatin dengan setiap permasalahan golongan remaja khususnya mereka yang digelar Mat Rempit. Dari sini timbullah keinginan saya mendekati dan membimbing golongan tersebut," katanya.
Beliau berkata, program yang membabitkan golongan remaja perlu bersifat dinamik dengan mengambil kira perkembangan terkini bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya.
"Saya percaya menerusi modul baharu seperti bermotosikal ini akan menerapkan semangat setiakawan, disiplin dan pengorbanan yang tinggi dalam diri peserta," katanya.
Kem Perkasa Remaja diperkenalkan sejak enam tahun lalu adalah suatu program intervensi berkonsepkan kem untuk meningkatkan potensi diri remaja yang dilabel sebagai Mat Rempit, merujuk kepada remaja yang terbabit dalam kegiatan lumba motosikal haram.
Program kerjasama Permata, Pusat Pemerkasaan UKM, PULAPOT dan Bikerz United Motorsports Club itu dijalankan dua kali setahun bertujuan menyuntik disiplin, meningkatkan potensi diri serta menyemai sifat kepimpinan dalam diri remaja terbabit.
Menerusi kem tiga minggu itu, peserta berusia antara 16 hingga 24 tahun didedahkan dengan pelbagai aktiviti seperti perkhemahan, tempur tanpa senjata, kawad serta teknik berlumba motosikal dengan selamat. - BERNAMA
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/224762
Permata Perluas Program Komuniti Remaja
Reviewed by Azmin
on
December 17, 2016
Rating:
No comments: