Seo Services

Prestasi Rio Satukan Rakyat Malaysia



Semangat negara melonjak apabila rakyat Malaysia berkongsi kegembiraan atas prestasi membanggakan oleh atlet Olimpik dan Paralimpik di Temasya Rio 2016 pada Ogos dan September lalu.

Rakyat bersama-sama berkumpul di hadapan televisyen di rumah mahupun di kedai mamak atau tempat lain untuk memberi semangat dan menyokong atlet negara yang berjuang nun jauh di Brazil.

Air mata kegembiraan dikongsi apabila lagu 'Negaraku' dimainkan dan Jalur Gemilang berkibar megah di venue sukan di Brazil.

Sebaik tiba ke tanah air, para atlet berjaya menyatukan semua rakyat Malaysia yang memuja kehebatan mereka, terima kasih kepada sukan.

Walaupun Datuk Lee Chong Wei gagal memberikan pingat emas yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia, pemain badminton nombor satu negara itu tetap hero di hati rakyat, setelah berani berjuang menentang Chen Long dari China dalam final badminton perseorangan lelaki.

Kontinjen Olimpik Malaysia membawa pulang empat pingat perak dan satu gangsa manakala pasukan Paralimpik memberikan persembahan penuh inspirasi apabila berjaya meraih tiga pingat emas dan satu gangsa.

Sejarah mula tercipta pada 10 Sept di Brazil apabila pingat emas pertama kontinjen Paralimpik negara dimenangi atlet pecut Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam acara 100m T36 lelaki.

Ia disusuli kilauan emas kedua daripada Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru F20 lelaki dan emas ketiga melalui Abdul Latif Romly dalam acara lompat jauh T20 lelaki. Malaysia turut meraih gangsa melalui Siti Noor Radiah Ismail dalam acara lompat jauh T20 wanita.

"Tumpuan kini adalah ke arah Sukan Para ASEAN 2017. Di samping itu, (Muhammad) Ziyad dan (Abdul) Latif dijadual menyertai banyak kejohanan olahraga terbuka tempatan bagi membolehkan mereka mempertingkatkan prestasi bersaing dengan atlet-atlet normal," kata Pengarah Cawangan Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN) Mohd Safrushahar Yusoff kepada Bernama.

Sementara itu, Program Podium, antara inisiatif Pelan Sukan Prestasi Tinggi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dilancarkan pada 3 Feb, wajar dipandang serius semua atlet yang terpilih.

Ia diwujudkan untuk melatih atlet bagi meraih kejayaan di Sukan Olimpik, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Dr Mohd Khairi Zawi berkata kejayaan di Olimpik dan Paralimpik Rio menjadi pemacu buat ISN untuk mempertingkat tahap penyediaan khidmat saintifik, perubatan dan teknologi supaya atlet negara terus mampu berdaya saing di tahap tertinggi.

Antara lain, sasaran utama program itu ialah merealisasi pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selain muncul 10 pasukan terbaik pada Sukan Asia dan Sukan Komanwel 2018 serta turut menyasarkan dapat melahirkan 10 atlet yang mampu menghuni sekurang-kurangnya kedudukan enam terbaik dunia.

Jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara sukan, barisan atletnya juga perlu mempunyai disiplin yang tinggi bukan sahaja dalam aspek latihan malah peraturan yang ditetapkan, umpamanya keperluan menjauhi penggunaan bahan terlarang.

Dalam hal ini, negara dikejutkan dengan berita empat atlet muda yang baru mahu menapak dalam bidang sukan, gagal ujian doping semasa Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mahu ISN dan Agensi Anti Doping Malaysia memantapkan lagi pemantauan terhadap penggunaan bahan terlarang ke atas atlet negara menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bercakap mengenai acara sukan, bola sepak paling mendapat tempat dalam kalangan rakyat dan prestasi skuad kebangsaan sering menjadi bualan baik melalui media massa mahupun media sosial.

Harapan untuk melihat skuad 'Harimau Malaysia' kembali menjadi jaguh di rantau Asia Tenggara lebur selepas mereka hanya mampu bersaing setakat peringkat kumpulan dalam saingan Piala Suzuki AFF.

Biarpun terpahat rasa kecewa dek prestasi skuad negara dalam saingan Piala Suzuki AFF, namun masih ada harapan nama negara dalam arena bola sepak harum di mata dunia.

Mohd Faiz Subri, 29, bukanlah pemain skuad kebangsaan dan juga bukan nama pemain pilihan dalam kalangan pemain elit negara.

Namun nama anak jati Ayer Hitam, Kedah itu kini mendapat perhatian ramai kerana berada dalam senarai akhir tiga jaringan gol terbaik bagi Anugerah Puskas FIFA yang bakal berlangsung di Zurich, Switzerland bulan depan. - Bernama
Prestasi Rio Satukan Rakyat Malaysia Prestasi Rio Satukan Rakyat Malaysia Reviewed by uMieySurianie on December 18, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.