Seo Services

Projek Paip Air iM Sarawak, Hadiah Krismas Kampung Stum Muda, Lundu

KUCHING, 22 Dis (Bernama) -- Kira-kira 700 penduduk Kampung Stum Muda di Lundu, kira-kira 100km dari sini, kini menikmati kemudahan bekalan air lebih stabil dengan siapnya projek pemasangan 6km paip 'High Density Polyethylene(HDPE) bagi menggantikan paip PVC lama yang sering bermasalah.

Projek dilaksanakan pertubuhan iM Sarawak itu merupakan hadiah paling indah dan bermakna buat penduduk berkenaan, sekali gus akan menceriakan lagi perayaan Hari Krismas yang bakal disambut beberapa hari lagi.

iM Sarawak dalam satu kenyataan berkata majlis pelancaran paip berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Anthony Nogeh Gumbek dalam satu majlis penuh ceria semalam, yang turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Penasihat 1Malaysia Sarawak (1MSAC) yang juga Anggota Parlimen Julau Datuk Joseph Salang Gandum.

Anthony dalam ucapannya pada majlis itu berkata, projek berkenaan adalah sebahagian daripada usaha iM Sarawak untuk membawa pendekatan holistik dalam menangani keperluan pelbagai komuniti di Sarawak dengan objektif utama membawa manfaat lestari.

Beliau turut memuji penduduk kampung berkenaan yang mengambil inisiatif mengambil giliran untuk menyelia dan menyelenggara kemudahan yang disediakan paip baharu itu, yang dianggapnya sebagai "satu contoh baik projek iM Sarawak yang berpaksikan kepada konsep gotong royong".

Sebelum ini bekalan air di kampung itu sering mengalami gangguan disebabkan paip PVC yang dipasang sejak tahun 1980ian itu sering berhadapan dengan masalah bocor, paip pecah, mengalami masalah tekanan air yang rendah semasa musim kemarau atau waktu puncak, dan sebagainya.

Menurut kenyataan itu, Ketua Kampung Stum Muda, Lebob anak Sindeh berkata biasanya keadaan bekalan air menjadi bertambah parah semasa waktu perayaan Hari Gawai dan Krismas apabila ramai yang balik untuk meraikan perayaan itu di kampung halaman.

"Kami amat gembira dan berterima kasih dengan pemasangan paip baharu ini. Kini kami tidak lagi bimbang mengenai kemungkinan gangguan bekalan air, ini adalah hadiah Krismas terbaik buat kami," katanya. -- BERNAMA
Projek Paip Air iM Sarawak, Hadiah Krismas Kampung Stum Muda, Lundu Projek Paip Air iM Sarawak, Hadiah Krismas Kampung Stum Muda, Lundu Reviewed by Admin on December 23, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.