RIYADH: Seorang putera Arab Saudi yang juga billionair mendesak larangan wanita memandu kereta di negara itu ditamatkan segera.
Putera Alwaleed bin Talal berkata, menamatkan undang-undang itu penting untuk hak wanita dan keperluan dari segi ekonomi.
“Hentikan perdebatan. Masa untuk wanita memandu,” kata Alwaleed dalam lawan twitter miliknya, @Alwaleed_Talal.
Alwaleed adalah anggota diraja Arab Saudi yang tidak memegang sebarang jawatan politik tapi menjadi pengerusi syarikat Kingdom Holding Co yang mempunyai kepentingan dalam syarikat Citigroup dan taman tema Euro Disney.
Dia sejak dulu menyokong hak wanita di Arab Saudi. Wanita di negara itu berdepan pelbagai sekatan, termasuk memandu kereta.
“Melarang wanita memandu kereta hari ini sama seperti melarang golongan itu mendapatkan pelajaran atau kebebasan sebagai individu,” katanya.
Alwaleed juga menyatakan kos ekonomi yang perlu ditanggung wanita kerana bergantung kepada pemandu asing atau teksi kerana perkhidmatan pengangkutan awam kurang meluas di negara itu.
“Menggunakan pemandu warga asing menyebabkan ekonomi Arab Saudi kehilangan berbilion dolar,” jelasnya.
Alwaleed menganggarkan secara purata satu keluarga memperuntukkan 3,800 riyal (RM4,518) sebulan untuk membayar gaji pemandu.
Menurutnya, wang itu boleh membantu perbelanjaan isi rumah ketika kebanyakan pendapatan keluarga berkurangan akibat masalah ekonomi. - Harian Metro
Putera Saudi Mahu Wanita Dibenar Memandu
Reviewed by uMieySurianie
on
December 01, 2016
Rating:
No comments: