KUCHING: Aktivis Sarawak 4 Sarawakian (S4S) menuntut kerajaan British mengkaji semua Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut Jurucakap kumpulan itu, Fong Pau Teck, pihaknya akan menghantar sekali lagi memorandum tuntutan tersebut kepada Ratu England melalui Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur.
“Tuntutan itu bertujuan agar kerajaan British mengkaji semula perjanjian MA63 untuk memastikan Putrajaya mematuhi perjanjian yang termaktub,” katanya pada sidang media semalam.
Beliau turut mendedahkan kumpulan S4S pernah menghantar memorandum yang sama pada Februari lalu, tetapi dokumen tersebut dikembalikan dalam keadaan sampul yang belum dibuka.
Beliau menjelaskan, tiada apa yang salah dengan meminta bantuan Britain dalam perkara ini kerana negara itu merupakan satu daripada penandatangan perjanjian, termasuk Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara (kini dikenali sebagai Sabah), Sarawak dan Singapura.
Menurut Fong, pada 27 Ogos 1976, kerajaan Malaysia secara unilateral meminda perlembagaan persekutuan untuk menjadikan Sarawak negeri yang ke 13, yang mana bertentangan dengan tiga wilayah asal Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah mengikut Perjanjian Malaysia.
"Penurunan status Sarawak dan Sabah dari wilayah kepada dua negeri dari tiga belas komponen Persekutuan. Ini jelas melanggar perjanjian,” ujarnya.
Justeru beliau mengingatkan kerajaan British agar tidak mengabaikan tuntutan berkenaan, dan bersedia untuk mengambil tindakan undang-undang
"Jika mereka terus mengabaikan kami, barulah kami merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka (kerajaan British)," beliau dipetik sebagai berkata. - Sarawakiana
S4S Mahu British Kaji Semula Perjanjian Malaysia 1963
Reviewed by Admin
on
December 07, 2016
Rating:
No comments: