Seo Services

Sarawak memerlukan peruntukan besar kerana saiz luas, geografi mencabar

SADONG JAYA: Sarawak memerlukan peruntukan yang besar untuk menyediakan kemudahan infrastruktur kepada rakyat kerana saiz negeri ini yang besar dengan keadaan geografinya yang amat mencabar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata untuk itu kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha kerajaan persekutuan dalam menyalur peruntukan demi pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“Kita amat berharap usaha sama kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan akan terus merapatkan jurang pembangunan di antara negeri ini dengan negeri-negeri maju di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibaca Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg pada Majlis Perasmian Jambatan Batang Sadong yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini semalam.

Malah, Adenan memberitahu bahawa dalam masa terdekat ini kerajaan negeri bersama kerajaan persekutan sedang dalam fasa rundingan bagi melaksanakan tiga jambatan yang bakal memperkasakan lagi jaringan jalan pesisir pantai di Sarawak.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa projek pembinaan Jambatan Batang Lupar dilaksanakan secara kerjasama serta perkongsian kos antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Terdahulu, Abang Johari berkata hubungan yang akrab antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan memberi manfaat kepada Sarawak.

“Beliau (Najib) sentiasa membawa ‘buah tangan besar’ untuk Sarawak dan kita mempunyai satu pasukan yang sangat akrab dan kukuh bersama Ketua Menteri kita dengan Perdana Menteri. Inilah regu yang kuat di Malaysia ini dan kita di Sarawak mendapat manfaat yang besar,” katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri ketika ditemui berkata dengan adanya jambatan tersebut pelbagai program pembangunan dapat dibawa ke kawasan berkenaan antaranya sektor pelancongan bagi meningkatkan sosioekonomi rakyat di situ.

“Kita akan memperbanyakkan lagi inap desa di sini kerana pada masa kini semakin ramai orang luar datang ke Jambatan Batang Sadong untuk melihat buaya secara langsung dan ini antara aktiviti pelancongan yang boleh diusahakan,” katanya.

Pada masa sama Ahli Parlimen Batang Sadong itu memberitahu, kawasan Rawat dan Rehat (RNR) dirancang untuk dibina berdekatan Jambatan Batang Sadong dalam usaha meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

“Mungkin tahun depan kita akan membina infrastruktur lengkap untuk menjana ekonomi penduduk setempat.

“Kita akan membina ruang berniaga berkonsepkan RNR di kawasan ini,” ujarnya. - UB
Sarawak memerlukan peruntukan besar kerana saiz luas, geografi mencabar Sarawak memerlukan peruntukan besar kerana saiz luas, geografi mencabar Reviewed by Azmin on December 19, 2016 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.