KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengesahkan tiada kes penjualan bayi dilaporkan di negeri ini.
Pengarahnya Dr Jamilah Hashim berkata walaupun kes tersebut tidak berlaku di Sarawak, namun pihaknya terus memperketatkan kawalan keselamatan di hospital kerajaan terutama wad bayi.
“Sejak menggalas tugas ini, saya belum menerima laporan berhubung kes sedemikian.
“Tiada kes penjualan bayi berlaku di mana-mana hospital kita (Sarawak), tetapi walaupun tidak ada kes tersebut, kita tetap sentiasa berwaspada dan berhati-hati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung isu penjualan bayi di Malaysia yang didedahkan stesen televisyen antarabangsa, Al-Jazeera baru-baru ini.
Jamilah berkata, pihaknya memandang serius perkara itu, malah menegaskan penjawat awam tidak seharusnya terlibat dalam sindiket berkenaan.
Mengulas lanjut, peningkatan tahap keselamatan amat penting dalam mengatasi serta mengelakkan kejadian ini berlaku di mana sahaja tidak kira hospital kerajaan mahupun swasta.
“Oleh sebab itu kita mempunyai waktu melawat dan pihak keselamatan tegas dalam tugas mereka ketika tempoh tersebut.
“Kita juga tidak membenarkan pelawat masuk ke kawasan wad jika bukan waktu melawat, kerana ketika itu kakitangan kita sibuk dengan proses rawatan pesakit dan sebagainya,” ujar Jamilah.
Dalam program dokumentari yang disiarkan pada 24 November lalu, Malaysia ditafsirkan sebagai hab penjualan bayi.
Laporan tersebut mendakwa terdapat sindiket yang bekerjasama dengan penyeludup, doktor dan pegawai kerajaan untuk mengembangkan perniagaan bayi yang dijual menerusi media sosial.
Bayi dijual pada harga antara ASD1,500 hingga ASD2,500 bergantung pada bangsa, jantina dan warna kulit.
Penyiaran dokumentari itu membangkitkan pelbagai reaksi umum termasuk Ketua Polis Negara dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menafikan negara ini menjadi hab akvititi haram.-UB
Tiada Penjualan Bayi Dilaporkan Di Sarawak
Reviewed by Unknown
on
December 01, 2016
Rating:
No comments: