Meskipun sudah memasuki tahun 2017, pendakap gigi palsu atau lebih dikenali sebagai fake braces masih dijual secara berleluasa di laman sosial. Malah, sudah acapkali diingatkan di media cetak dan elektronik tentang bahaya pemakaian pendakap gigi bukan dari klinik gigi yang berlesen.
Baru-baru ini di Kuala Terengganu, seorang gadis berusia 22 tahun membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan menyediakan perkhidmatan klinik pergigian tanpa tauliah dengan memberi rawatan pemasangan pendakap gigi kepada seorang remaja perempuan.
Lebih mengejutkan, gadis tersebut mendakwa mempelajari teknik pemasangan pendakap gigi hanya melalui laman Youtube.
Menurut Presiden Persatuan Doktor Pergigian Malaysia (MDA), Dr. Chow Kai Foo, kewujudan doktor palsu di negara ini bukan sesuatu yang baharu dilaporkan, malah semakin membimbangkan apabila melibatkan pengguna dalam kalangan remaja.
“Tidak dinafikan, dunia tanpa sempadan membolehkan kita membeli apa sahaja barang tanpa dikawal dan ini menyukarkan penguatkuasa untuk menyekat penjualan barangan seperti pendakap gigi palsu.
“Adanya kehendak daripada pengguna dan tidak ramai yang melaporkan kepada pihak berkuasa terhadap penjualan haram tersebut menyebabkan aktiviti itu berleluasa dan semakin menjadi-jadi.
“Jika dahulu pemakaian pendakap gigi sesuatu yang memalukan, kini situasinya berbeza apabila pemakaiannya dikatakan sebagai trend atau fesyen dalam kalangan remaja. Ini membuatkan mereka berebut-rebut untuk mendapatkannya. Walaupun gigi sudah tersusun elok, mereka masih mahu memakainya,” katanya ketika ditemui di Klinik Pakar Pergigian Zhou di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Ujarnya, kos murah yang ditawarkan menyebabkan pengguna tidak berfikir panjang akan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan akibat penggunaan pendakap gigi palsu atau perkhidmatan pergigian daripada mereka yang tidak bertauliah.
Jelasnya lagi, bukan sekadar pendakap gigi dijual di media sosial, bahkan rawatan estetik pergigian juga ditawarkan oleh doktor gigi palsu kepada pengguna.
Misalnya, rawatan veneer, iaitu memutihkan gigi, yang sepatutnya hanya ditawarkan oleh pakar estetik.
“Baru-baru ini tersebar video yang menunjukkan rawatan veneer dilakukan di rumah, sesuatu yang amat menyalahi undang-undang.
“Hanya doktor gigi yang bertauliah dibenarkan membuat rawatan veneer dan mereka perlu membuat rawatan di klinik pergigian yang berlesen.
“Pihak yang bertanggungjawab perlu mengambil tindakan yang tegas bagi menangani isu ini kerana ianya membahayakan keselamatan pengguna,” katanya.
Kata Dr. Kai Foo, setiap alatan yang digunakan untuk membentuk pendakap gigi mempunyai kualiti pembuatan yang sangat tinggi. Ia diperbuat daripada bahan antikarat dan tidak aktif terhadap air liur, minuman dan makanan yang dimasukkan ke dalam mulut.
Berbeza dengan pendakap gigi palsu yang besinya boleh berkarat, reaktif dengan bahan lain, boleh mencalarkan permukaan gigi dan menghakis enamel gigi, manakala saduran besinya boleh terhakis dan menjejaskan tubuh pengguna.
Ujarnya, ada juga yang pengguna yang membeli pendakap gigi original tetapi disebabkan mahu menjimatkan kos, mereka memilih untuk memasang sendiri dan mempelajarinya sekadar di Youtube.
“Banyak risiko kesihatan yang boleh berlaku kepada pengguna jika menggunakan pendakap gigi palsu, memasang sendiri atau dipasang oleh mereka yang bukan bertauliah.
“Ini kerana doktor palsu yang menawarkan rawatan tidak pernah menjalani latihan rawatan pergigian menyebabkan mereka tidak mengamalkan pensterilan yang betul.
“Tanpa pengalaman dan tidak tahu tahap kebersihan alat yang digunakan, kemungkinan jangkitan boleh berlaku,” kata Dr. Dr. Kai Foo.
Saranannya kepada remaja yang taksub untuk mengikut trend, jika sudah memiliki gigi normal atau sedia cantik, lupakan saja niat untuk bergaya dengan pendakap gigi kerana tujuan asal pendakap gigi adalah untuk membetulkan struktur gigi yang tidak selari.
Bagi mereka yang betul-betul memerlukan rawatan pendakap gigi kerana gigi tidak tersusun cantik, dapatkan rawatan daripada klinik gigi yang berdaftar.
Bahaya Pendakap Gigi Palsu, Besi Berkarat Boleh Rosakkan Gigi
Reviewed by uMieySurianie
on
January 18, 2017
Rating:
No comments: