Seo Services

Bapa Harap Ihsan Pencarian MH370 Disambung Semula

Image result for MH370
KUANTAN – Meskipun menerima hakikat pencarian dasar laut pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 kini digantung, bapa seorang penumpang masih mengharapkan usaha itu dapat disambung semula pada masa depan.

Selamat Omar berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dapat menimbang kemungkinan menyambung pencarian itu pada masa akan datang sekiranya ada bukti di mana penerbangan pesawat malang itu berakhir.

“Saya masih berharap…saya mohon ihsan perdana menteri supaya (pencarian) boleh diteruskan apabila keadaan kewangan baik dan jika usaha itu tidak membebankan negara.

“Saya tahu, sudah banyak yang dibelanjakan dalam usaha mencari apatah lagi dalam keadaan ekonomi sekarang. Sebab itu saya terima keputusan menggantung usaha pencarian itu,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Selamat, 64, dari Felda Bukit Mendi, Bera, berkata beliau menerima ketentuan Illahi tentang nasib anak lelakinya Mohd Khairul Amri yang hilang bersama-sama penumpang lain MH370 namun sebagai manusia, beliau ingin tahu situasi sebenar yang menimpa pesawat itu.

Mohd Khairul Amri, yang merupakan jurutera pesawat, berusia 29 tahun semasa tragedi malang itu menimpa pesawat berkenaan.

“Saya sudah reda, cuma mengharapkan ihsan agar terus cari sehingga jumpa… ada noktah. Bila (MH370) ditemui, barulah kami dapat tahu apa sebenarnya dan pihak berkenaan boleh lakukan analisis supaya kejadian serupa tidak berulang,” katanya.

Selamat juga berharap sekiranya pencarian itu disambung pada masa depan, hanya kenyataan sahih dimaklumkan kepada waris memandangkan adanya penyebaran maklumat tidak sahih yang memberi harapan palsu kepada keluarga mangsa.

Malaysia, Australia dan China hari ini mengeluarkan kenyataan bersama bagi mengumumkan bahawa usaha pencarian dasar laut pesawat MH370 kini digantung, dengan kapal mencari terakhir dalam operasi itu meninggalkan kawasan pencarian seluas 120,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.

Kenyataan itu dikeluarkan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Infrastruktur dan Pengangkutan Australia Darren Chester dan Menteri Pengangkutan China Li Xiaopeng.

Kenyataan bersama itu menyatakan pesawat berkenaan tidak dapat dikesan, “walaupun segala usaha telah dilakukan, menggunakan pengetahuan sains terbaik, teknologi tercanggih serta pemodelan dan nasihat daripada profesional berkemahiran tinggi, yang amat pakar dalam bidang masing-masing.”

Penerbangan MH370, yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. – BERNAMA

Bapa Harap Ihsan Pencarian MH370 Disambung Semula Bapa Harap Ihsan Pencarian MH370 Disambung Semula Reviewed by Azmin on January 18, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.