SIBU: Dua beradik perempuan didapati berkeliaran di bandar ini serta menyelongkar tong sampah di belakang Star Cineplex di Jalan Ramin Way petang kelmarin dihantar pulang oleh pihak polis atas sebab keselamatan.
Kejadian itu menarik perhatian orang awam apabila mereka terlihat adik beradik berusia 16 dan lima tahun dalam keadaan lapar dan menyelongkar sisa makanan dalam tong sampah.
Orang ramai menyaksikan kejadian itu melarang kedua-duanya berbuat demikian dan memberi makanan kepada adik-beradik malang itu.
Bagaimanapun, apabila melihat orang ramai mengerumuni mereka, kedua-duanya ketakutan dan menangis.
Apabila ditanya mengenai ibu bapa mereka, kedua-duanya bercerita mereka lari dari rumah kerana tidak tahan didera ibu tiri dan ibu bapanya telah lama bercerai.
Tetapi apabila polis datang, mereka mengaku tinggal dengan kakak angkat mereka di Lorong Merlin dan menyelongkar tong sampah bagi mencari tin dan botol kosong untuk dijual tetapi bukan untuk mencari sisa makanan.
Kemudian anggota polis menghantar mereka pulang ke rumah untuk mengetahui cerita sebenar.
Terdahulu, adik-beradik terbabit ditemui seorang wanita dikenali sebagai Roselah Salimat apabila dia dan anaknya pergi ke sebuah restoran makanan segera berhampiran pada jam 3 petang.
Mereka mendapati adik-beradik malang itu menyelongkar tong sampah dan menyangka mereka mencari sisa makanan.
Dua jam kemudian apabila dia dan anaknya keluar dari restoran berkenaan, dia mendapati adik beradik itu duduk di atas lantai simen di tepi tong sampah.
Roselah merasakan adik-beradik itu mungkin memerlukan bantuan dan dia cuba mendekati mereka.
Ketika itu adik-beradik malang itu menceritakan bahawa ibu bapa mereka telah bercerai dan bapa berkahwin baharu.
Orang awam yang menyaksikan perbualan mereka mengerumuni adik-beradik itu dan menyatakan kesediaan untuk membantu.
Salah seorang orang awam di situ sudi menyediakan tempat tinggal manakala seorang lagi memberi makanan dan air kepada mereka.
Pengusaha salun rambut berdekatan turut memberi ubat kepada si kakak kerana mengalami sakit gastrik.
Segelintir orang awam turut mencadangkan untuk menghantar mereka ke balai polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Adik-beradik itu bagaimanapun enggan, berasa takut dan mulai menangis.
Apabila tiga anggota polis meronda melalui kawasan tersebut, adik-beradik terbabit mengubah cerita dan mengaku tidak mempunyai ibu tiri.
Sebaliknya, berkata mereka tinggal dengan kakak angkat di Lorong Merlin dan mendakwa tidak mempunyai masalah di rumah.
Dua anggota polis membawa mereka pulang ke rumah untuk memastikan keselamatan sekali gus memastikan bukan mangsa dera.
Budak Selongkar Tong Sampah 'Ditahan' Polis
Reviewed by Unknown
on
February 27, 2017
Rating:
No comments: