Seo Services

Chong Wei & Lin Dan ‘Berkampung’ Di Kuching April Ini


KUCHING: Dua musuh ketat arena badminton dunia, Datuk Lee Chong Wee dan Lin Dan antara 10 pemain terbaik yang mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Celcom Axiata Malaysia Open 2017 pada 4 hingga 9 April bertempat di Stadium Perpaduan Negeri Sarawak.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan berprestij itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM2.4 juta.

"Kejohanan ini merupakan pertandingan badminton terbesar yang pernah dianjurkan di Sarawak," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, ia merupakan kejohanan siri super kedua berprestij selepas Sukan Olimpik dan Kejohanan Badminton Dunia.

Beliau berkata, seramai 351 pemain dari 20 negara bakal bertarung pada kejohanan tersebut.

Sebanyak lima kategori dipertandingkan termasuk perseorangan lelaki dan perempuan, beregu lelaki dan perempuan selain bergu campuran.

Menurut Karim lagi, kemasukan pada hari pertama kejohanan adalah percuma manakala pada hari kedua tiket dijual pada harga RM20.



“Bagi pembelian awal tiket bermula 6 hingga 20 Mac, penonton akan menikmati diskaun sebanyak 20 peratus manakala bagi pelajar yang lengkap berpakaian seragam sekolah, diskaun sebanyak 50 peratus akan dikenakan namun ia terhad untuk 5 dan 6 April sahaja.

“Penjualan tiket bermusim pula pada harga RM175 untuk akses sepanjang kejohanan,” ujarnya.

Tiket akan mula dijual secara online di www.badmintonmalaysiaopen.com dan ejen-ejen yang dilantik bermula 6 Mac.

Menurut Karim lagi, syarikat televisyen berbayar, Astro akan menyiarkan siaran secara langsung ke seluruh dunia bermula hari pertama hingga hari terakhir kejohanan,

“Peminat sukan badminton seharusnya tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan kejohanan ini  di Stadium Perpaduan memandangkan inilah kali pertama kita menganjurkan kejohanan sebesar ini di Sarawak,” kata beliau.

Turut hadir pada sidang media tersebut sebentar tadi ialah Presiden Persatuan Badminton Sarawak (SBA) Tan Sri Aziz Hussein, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Al Amin Abdul Majid, Pengurus Besar BAM Lawrence Chew dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Kamri Afandi. - Sarawakiana
Chong Wei & Lin Dan ‘Berkampung’ Di Kuching April Ini Chong Wei & Lin Dan ‘Berkampung’ Di Kuching April Ini Reviewed by Azmin on February 28, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.