Seo Services

3 Maut, 4 Cedera Kereta Api Langgar Van


BEAUFORT: Tiga individu disahkan meninggal dunia, manakala empat termasuk seorang bayi mengalami kecederaan dalam kemalangan membabitkan kereta api melanggar sebuah van di Kampung Memanjang, di sini, kira-kira jam 2.40 petang kelmarin.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Majinon Matinjung, 78; Noor Lela Roslan, 42; dan seorang pelajar Lestary Majinon, 17. Kesemua mangsa berasal dari Kampung Klias Baru, Beaufort.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort Runzee Abd Thani berkata kejadian berlaku semasa kereta api terbabit dalam perjalanan dari Stesen Tanjung Aru menuju ke Stesen Beaufort.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, van jenis Toyota Liteace yang membawa tujuh penumpang melintasi landasan sebelum dilanggar kereta api jenis satu gerabak.

“Impak kemalangan menyebabkan tiga mangsa disahkan maut manakala empat yang lain termasuk bayi berumur setahun lebih mengalami pelbagai kecederaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 2.57 petang dan menggerakkan 10 anggota BBP ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggotanya segera menghantar seorang mangsa remaja wanita ke Hospital Beaufort untuk mendapatkan rawatan lanjut menggunakan kenderaan EMRS manakala dua lagi mangsa cedera dihantar ke hospital dengan bantuan orang awam.

“Beberapa anggota lain terpaksa menjalankan operasi penyelamatan dengan memotong bahagian kenderaan bagi mengeluarkan seorang mangsa wanita dari bahagian bawah kenderaan.

“Kita juga terpaksa memotong tali pinggang keselamatan agar dapat mengeluarkan pemandu berumur 50 tahun yang tersepit di bahagian pemandu serta mengangkat seorang mangsa wanita yang tercampak keluar dari van semasa kejadian,” katanya, sambil menambah ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.

Beliau berkata, tiga mangsa disahkan maut manakala empat lagi penumpang van yang cedera termasuk seorang bayi berumur kira-kira setahun kini sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Beaufort.

Tambahnya, anggota bomba kemudiannya menjalankan kerja pembersihan di lokasi kejadian terutamanya di atas landasan bagi mengelakkan sebarang masalah lain berlaku.

Menurutnya operasi keseluruhan tamat pada jam 4.10 petang kelmarin.-UB
3 Maut, 4 Cedera Kereta Api Langgar Van 3 Maut, 4 Cedera Kereta Api Langgar Van Reviewed by Unknown on March 02, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.