KUCHING: Biarpun kerajaan menyediakan banyak bantuan kepada usahawan sekiranya mendaftarkan perniagaan mereka namun masih ramai lagi belum berbuat demikian.
Di Sarawak sahaja dianggarkan tidak kurang daripada 40,000 usahawan termasuk bersaiz mikro belum berdaftar di negeri ini.
Sehubungan itu, Menteri Muda Pembangunan Usahawan, Datuk Mohd Naroden Majais menegaskan, menjadi satu kerugian kepada usahawan yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka kerana pelbagai program latihan, bantuan dan promosi disediakan kerajaan bagi membantu meningkatkan perusahaan mereka.
“Sejak saya dilantik sebagai Menteri Muda (Pembangunan Usahawan) pada 2005, saya dapati hanya 6,000 usahawan berdaftar dengan agensi kerajaan tetapi pada hujung 2016 kita sudah mempunyai hampir 50,000 usahawan yang berdaftar di bawah SME Corp Sarawak.
“Namun, saya percaya masih banyak lagi di luar sana terutama melibatkan perusahaan mikro belum berdaftar dengan agensi kerajaan dan saya anggar tidak kurang daripada 30,000 hingga 40,000 di seluruh Sarawak,” katanya.
Sehubungan itu, Naroden yang juga Menteri Muda Perancangan Sumber memberitahu agensi pelaksana di peringkat kerajaan persekutuan dan negeri perlu berganding bahu melaksanakan program untuk memastikan usahawan di negeri ini mendaftar perniagaan mereka.
“Kita ada 60 agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang melaksanakan pelbagai program, jika semua agensi kerajaan ini bekerjasama, saya yakin usahawan kita dapat dibantu dan pada masa sama kita dapat melihat sendiri impak program yang kita laksanakan itu,” ujarnya.
Selain itu, beliau meminta para usahawan di negeri ini memperluaskan ilmu dalam bidang Internet memandangkan cabaran baharu di dunia tanpa sempadan masa kini.
Malah, katanya, dengan misi di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang mahu meningkatkan kuasa teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini, maka ilmu ICT itu penting untuk didalami.
“Oleh itu, kita perlu meningkatkan kualiti, cara pengurusan dan pemasaran perniagaan supaya kita berupaya bersaing dan seterusnya membawa produk kita menembusi pasaran yang lebih jauh dan besar menerusi ICT ini,” jelasnya.-Sarawakiana
40,000 Usahawan Di Sarawak Tidak Daftar Perniagaan
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:
Reviewed by Unknown
on
March 28, 2017
Rating:

No comments: