Seo Services

Masjid Tertua Di Sarawak Jadi Masjid Terapung


KUCHING: Bandar raya ini bakal memiliki mercu tanda baharu apabila masjid terapung pertama di Sarawak iaitu Masjid Bandar Kuching baharu atau lebih dikenali Masjid India siap dibina pada tahun depan.

Setiausaha Lembaga Amanah Khairat Masjid Bandar Kuching, Abdul Wahab Daud berkata, pembinaan masjid tersebut sudah mencapai 32 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada Mac 2018.

Menurutnya, pelan reka bentuk dibuat oleh Konsultan SOM (Sim Odta Muhammad dan mula dibina pada Mei 2016.

"Setakat ini pembelanjaan pembinaan projek masjid ini sudah menelan belanja RM14 juta yang diterima daripada duit sewaan kedai, Baitumal, kerajaan negeri dan derma orang awam untuk membina rangka dan bangunan namun setakat ini memang belum mencukupi.

“Pembelanjaan ini belum termasuk kos membeli peralatan seperti permaidani, potongan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hiasan dalaman, dan ukiran. Kemungkinan akan memerlukan beberapa juta lagi untuk menampung kosnya," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS) Datu Misnu Taha yang mengadakan tinjauan di tapak projek berpuas hati dengan perkembangan masjid tersebut.

“Di Sarawak pun sudah ada masjid terapung seperti di Sabah dan Terengganu yang turut menjadi tarikan pelancong. Masjid ini dibina semula dengan reka bentuk unik dan pemandangan indah di atas air di Tebingan Kuching.

“Masjid ini bukan saja menjadi tempat ibadat, malah akan terus dijadikan medan untuk mengembangkan ilmu agama melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang tahun,” ujarnya.

Misnu memberitahu pembinaan semula Masjid Bandar Kuching, Jalan Gambier sudah dipelankan dengan sebahagian tapak bangunan masjid terletak di atas tanah tebingan dan sebahagian lagi di dalam air sungai supaya nampak cantik.

Masjid Bandar Kuching atau asalnya Masjid Tambi ialah masjid tertua di Sarawak dibina pada 1834 merupakan tempat ibadat masyarakat tempatan sejak lebih 176 tahun.

Beliau menjelaskan Masjid Bandar Kuching yang baharu itu nanti mampu menampung sejumlah 1,600 jemaah pada satu­satu masa.

“Pembinaan masjid baharu lebih baik berbanding melakukan kerja membaik pulih secara kerap ke atas bangunan masjid sedia ada dan perancangan bandar Kuching pada masa akan datang menampakkan banyak perubahan segi pembangunan lama dan yang baharu,” jelasnya.-Sarawakiana
Masjid Tertua Di Sarawak Jadi Masjid Terapung Masjid Tertua Di Sarawak Jadi Masjid Terapung Reviewed by Unknown on March 28, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.