DUBLIN: Seorang bekas penagih di Ireland memiliki cara tersendiri untuk membantu golongan bemasalah apabila sanggup 'ditanam' hidup-hidup selama tiga hari dalam sebuah keranda yang dilengkapi rangkaian jalur lebar dan elektrik.
John Edward yang berusaha sekitar 60-an, berkata, aksinya itu merupakan sebahagian kempen Walking Free iaitu usaha membantu penagih dadah, golongan ketagihan alkohol, golongan yang mahu membunuh diri dan kumpulan yang menghadapi masalah pemakanan untuk memulakan hidup baharu.
Upacara itu turut disaksikan oleh isterinya sendiri, Trish ketika Edward 'dikebumikan' di sebuah gereja di Dublin pada Rabu.
Menurut Edward, sebagai bekas penagih dadah dan kaki mabuk, dia sendiri tahu tentang kesukaran untuk mengatasi tabiat buruk itu.
Malah dia berharap usahanya itu dapat meningkatkan kesedaran orang ramai untuk membantu golongan terbabit supaya mereka dapat memiliki kehidupan yang lebih baik.
"Sepanjang menjadi penagih dadah, saya menghidap kanser sebanyak dua kali selain melakukan pembedahan pemindahan hati dan pernah beberapa kali cuba membunuh diri.
"Saya berjaya mengatasi ketagihan itu kira-kira 23 tahun lalu iaitu tahun 1994, waktu yang sama saya menubuhkan kempen kebajikan ini," katanya seperti dilaporkan portal MailOnline.
Ditanya mengapa Edwawrd berbuat demikian, dia berkata, tindakannya itu dapat menarik perhatian seluruh dunia.
"Saya tahu tindakan ini sangat radikal tetapi ramai orang menghubungi saya terutamanya golongan yang mahu membunuh diri.
"Pelan saya adalah untuk bercakap dengan mereka dari kubur ini supaya mereka mengetahui perasaan berada di dalam tanah, sekali gus memberi semula harapan kepada mereka," katanya.
Edward menyediakan media sosial Facebook dengan slogan #GraveChat untuk menyebarkan matlamat kempennya. selain bersiaran secara langsung dalam kubur itu untuk tontonan masyarakat umum. - mStar
'Berkubur' Selama Tiga Hari Bantu Golongan Susah
Reviewed by uMieySurianie
on
March 02, 2017
Rating:
No comments: