Seo Services

Malaysia, Jepun Manfaat Persatuan Persahabatan


BANGI - Malaysia dan Jepun perlu mengukuhkan jalinan hubungan serta kerjasama sedia ada menerusi persatuan atau badan persahabatan yang berperanan sebagai ejen perubahan pembangunan di rantau ini.

Presiden Alumni Program Persahabatan Abad Ke-21 (PAMAJA), Iskandar Noor Ibrahim berkata kedua-dua negara perlu berusaha untuk meningkatkan persahabatan itu sebagai platform utama bagi menjayakan aspirasi serta kesejahteraan rantau ini.

"Tiada apa yang dapat dicapai jika rantau ini tidak stabil ataupun aman," katanya dalam ucapan pada mesyuarat lembaga eksekutif persatuan itu di sini, hari ini.

Acara dua hari itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Wira Othman Aziz.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Iskandar berkata PAMAJA berhasrat meningkatkan program pertukaran pelajar antara kedua-dua negara bagi tujuan pemindahan teknologi dalam sektor perindustrian serta pembangunan modal insan.

"Seramai 150 pelajar terbabit dalam program pertukaran tahunan yang dianjurkan oleh persatuan persahabatan ini. Di peringkat negara, ia dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun," katanya.

Program Persahabatan Bagi Abad Ke-21 itu diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri Jepun, Yasuhiro Nakasone pada Mei 1983.

Sejak penubuhannya pada 1987, PAMAJA mengadakan pelbagai aktiviti bagi meningkatkan perhubungan dalam kalangan ahlinya.

Malah, sejak 30 tahun lepas, seramai 4,655 rakyat Malaysia terbabit dalam program-program berkenaan. - Bernama
Malaysia, Jepun Manfaat Persatuan Persahabatan Malaysia, Jepun Manfaat Persatuan Persahabatan Reviewed by Unknown on March 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.