Seo Services

SFC Serius Tangani Konflik Buaya


KUCHING: Berikutan peningkatan kes serangan dan kematian akibat buaya sejak kebelakangan ini, Sarawak Forestry Corporation (SFC) serius menangani konflik antara buaya dan manusia di Sarawak.

Memetik laporan Utusan Malaysia, SFC dalam kenyataan membe­ritahu, bagi menjamin keselamatan penduduk terutama yang tinggal di kawasan berhampiran sungai-sungai berisiko dengan ancaman buaya, pihaknya melalui Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) telah melancarkan 73 operasi penakaian (me­ngenal pasti dan memilih binatang dalam sesuatu kum­pulan yang berpenyakit) dan pemindahan buaya di seluruh Sarawak sejak 2013.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 20 operasi penakaian buaya telah dijalankan, manakala dua operasi sama dibuat setakat Februari lalu.

“Usaha memindahkan buaya diteruskan dan operasi SWAT akan dipertingkatkan terutama di Zon Nyah Buaya yang terlibat,” kata kenyataan itu.

Mengulas lanjut, kenyataan itu berkata, SFC akan terus memantau sungai-sungai berisiko tinggi dengan ancaman buaya dan mempertingkatkan operasi penakaian di tempat yang dikenal pasti.

Selain itu, katanya, SFC berjaya menurunkan buaya katak daripada Lampiran I kepada Lampiran II Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Flora dan Fauna Liar yang Terancam.

Tambahnya, penurunan itu membolehkan buaya liar dituai secara lestari untuk tujuan pemerdagangan antarabangsa.

“Satu sesi dialog telah diadakan di Kota Samarahan, Kuching, Sri Aman dan Serian pada minggu lalu untuk mendapatkan maklum balas serta input daripada masyarakat tentang masalah ancaman buaya ini.

“Hasil dialog itu diperlukan untuk menyelaraskan Pelan Pengurusan Buaya Negeri terutama berkaitan dengan pengeluaran lesen untuk menakai buaya kepada penduduk,” ujarnya.

Walau bagaimanapun katanya, buaya masih merupakan spesies terlindung di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.

Sehubungan itu ujar kenyataan tersebut, SFC mengingatkan masyarakat agar berhati-hati semasa menyelusuri sungai memandangkan sekarang merupakan musim landas (tengkujuh) dan juga musim mengawan bagi buaya.-Sarawakiana


SFC Serius Tangani Konflik Buaya SFC Serius Tangani Konflik Buaya Reviewed by Unknown on March 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.