MUMBAI: Gara-gara berjenaka tidak kena tempat, seorang model berhadapan hukuman penjara tiga tahun atas dakwaan cuba menjejaskan keselamatan orang lain, selain mencetuskan kebimbangan awam.
Kachan Thakur, 27, ditahan kerana mencetuskan panik di terminal dua Lapangan Terbang Sahar, di sini, malam semalam selepas meminta pihak keselamatan 'memeriksa beg tangan rakannya dengan berhati-hati kerana ada bom di dalamnya'.
Bagaimanapun, Thakur dibebaskan dengan ikat jamin.
Kejadian itu menyebabkan penerbangan Air India menuju ke New Delhi ditangguhkan selama satu jam.
Selain itu, Thakur turut terbabit dalam pergaduhan dengan pegawai Pasukan Keselamatan Pusat India (CISF).
Insiden berkenaan berlaku pada jam 8.00 malam (waktu tempatan) semalam apabila Thakur, berbaris bersama tiga rakannya untuk memasuki pesawat Air India.
Ketika melepasi pintu balai pelepasan, iaitu ketika giliran rakannya diperiksa, Thakur berpaling ke arah pengawal keselamatan dan membuat komen 'bom' itu.
Keadaan serta merta menjadi kecoh dan memaksa pasukan keselamatan menghubungi CISF serta pegawai lapangan terbang.
Selepas disoal siasat, CISF meminta Air India mengeluarkan semula bagasi keempat-empat wanita itu dan berlepas ke New Delhi tanpa mereka.
Berikutan itu, Thakur mengaku beliau cuma berjenaka dan mula mencetuskan pergaduhan dengan pegawai CISF selepas mereka tidak mengendahkan pengakuannya.
Kejadian itu juga menyebabkan seorang rakannya terpaksa menangguhkan perjalanan untuk menziarahi ibunya yang sakit di New Delhi. - TIMES OF INDIA
Model Sebut Bom Di Lapangan Terbang Bakal Kena Jel
Reviewed by Azmin
on
March 04, 2017
Rating:
No comments: