Seo Services

Raja Arab Saudi Pecah Tradisi Dan Protokol Dengan ‘Selfie’



JAKARTA: Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz turut mengambil gambar “selfie”, bergambar dan merakam video dalam suasana santai di sepanjang lawatannya ke Asia, memecahkan tradisi dan formaliti kebanyakan keluarga diraja apabila ke luar negara.

Pada beberapa hari terawal dalam lawatannya, raja itu tampil bergambar bersama barisan pemimpin tinggi di Indonesia dan Malaysia yang gambar itu kemudiannya dikongsi jutaan pengguna media sosial.

Presiden Indonesia Joko Widodo berkongsi video di Facebook ketika beliau makan malam bersama raja itu di istana presiden di Bogor, dekat Jakarta.

Dalam video itu, mereka mengulas mengenai lawatan itu, apatah lagi ini lawatan raja Arab Saudi yang pertama ke Indonesia dalam tempoh hampir 5 dekad.

Ketika Widodo kelihatan seperti memegang kamera telefon, Salman kelihatan sedang menghirup sup menggunakan sudu berwarna emas sebelum mengulas dalam bahasa Arab mengenai lawatan 12 hari ke Indonesia, tempoh terlama dalam lawatan sebulannya ke Asia.

“Saya sangat gembira berada di Indonesia dan bersama orang Indonesia,” kata Salman di depan kamera itu, sementara penterjemah yang duduk di sebelahnya menterjemahkan ke bahasa Indonesia.

Raja itu juga bergambar selfie dengan bekas presiden Megawati Sukarnoputri dan anak perempuannya Maharani, yang juga ahli Kabinet Widodo.

Indonesia mempunyai pengguna Facebook dan Twitter yang ramai, dengan selfie ialah perkara utama dalam media sosial di negara keempat paling ramai populasi di dunia itu.

Awal minggu ini, Salman dilihat bergambar selfie dengan Datuk Seri Najib Razak yang kemudian dimuat naik ke akaun Twitter perdana menteri, ketika persinggahan pertamanya merentasi Asia.

Meskipun agak jarang berlaku, Salman muncul di media sosial beberapa kali sebelum ini, termasuk ketika bergambar selfie di Qatar bersama seorang remaja yang berjaya sembuh daripada kanser.

Raja itu mengadakan lawatan dengan beberapa ratus orang delegasi dan hampir 500 tan beg, termasuk 2 eskalator berwarna emas.

Selepas Jakarta, delegasi itu dijangka berehat di pulau peranginan Bali, di mana 4 hotel dan 300 kereta mewah ditempah untuk tempoh lebih seminggu, menurut polis tempatan dan persatuan agensi pelancongan.

Salman juga dijangka melawat Brunei, China, Jepun, Maldives dan Jordan.- Reuters
Raja Arab Saudi Pecah Tradisi Dan Protokol Dengan ‘Selfie’ Raja Arab Saudi Pecah Tradisi Dan Protokol Dengan ‘Selfie’ Reviewed by Unknown on March 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.