Seo Services

Malaysia Dapat Bantuan Dalam Siasatan Agen Saraf VX



KUALA LUMPUR: Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW) dan pertubuhan antarabangsa lain bagi membawa pelaku ke muka pengadilan dalam siasatan penggunaan bahan kimia agen saraf VX dalam kes pembunuhan warga Korea Utara, Kim Jong Nam.

Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata OPCW memberikan beberapa bahan teknikal seperti dipohon pihak berkuasa Malaysia dalam membantu siasatan kes tersebut.
“OPCW turut menyatakan komitmennya untuk terus memberi bantuan seperti yang diperlukan,” katanya.

Kementerian itu berkata Malaysia mematuhi undang-undang di bawah Jadual 1, Konvensyen Larangan Pembangunan, Penghasilan, Penyimpanan dan Penggunaan Senjata Kimia Bagi Tujuan Kemusnahan (CWC) 1997 dan Akta Konvensyen Senjata Kimia Malaysia 2005.

“Malaysia tidak menghasilkan, mempunyai simpanan stok, mengimport, mengeksport atau menggunakan mana-mana bahan kimia toksik termasuk VX yang disenaraikan dalam jadual 1 CWC,” katanya.

Sehubungan itu kementerian mengutuk sekeras-kerasnya penggunaan senjata kimia tersebut oleh sesiapa saja, di mana-mana dan dalam apa jua keadaan.

Bahan kima Ethyl S-2-diisopropylaminoethyl methylphosphonothiolate” atau agen saraf VX dipercayai digunakan dalam pembunuhan Jong Nam, yang menggunakan pasport atas nama Kim Chol, ketika menunggu penerbangan ke Macau di klia2 pada 13 Februari lepas.

Dalam kejadian itu, Jong Nam, abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, dihampiri 2 wanita asing yang dikatakan menyapu mukanya dengan tangan yang dilumur bahan beracun.

Jong Nam meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam pada Rabu lepas dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang atas tuduhan membunuh Jong Nam.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan. - Bernama
Malaysia Dapat Bantuan Dalam Siasatan Agen Saraf VX Malaysia Dapat Bantuan Dalam Siasatan Agen Saraf VX Reviewed by Unknown on March 03, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.