Seo Services

Rakyat Berbilang Kaum, Agama Akan Mendapat Layanan Dan Hak Sama Rata



KUCHING: Rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini akan mendapat layanan dan hak sama rata, kata Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Katanya, dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam pucuk kepimpinan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), beliau akan menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya sebagai Ketua Menteri secara adil dan saksama kepada semua rakyat Sarawak.

“Saya yakin akan menjalankan amanah secara adil dan saksama kepada semua rakyat negeri ini tanpa mengira perbezaan kaum dan agama dan inilah keunikan negeri kita.

“Sebab itulah, tindakan serta layanan yang sama rata dan seimbang harus diberi perhatian serius supaya kita tidak merendah-rendahkan kewujudan perpaduan dalam kepelbagaian kaum dan agama yang kita miliki sejak dahulu lagi,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kesyukuran anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang di Dewan HIKMAH di sini, malam kelmarin.

Presiden PBB itu juga berkata, beliau amat bertuah kerana memiliki Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sisinya dalam pucuk pimpinan PBB dan juga pentadbiran kerajaan.

“Saya dan Uggah merupakan generasi kedua dalam kepimpinan PBB dan kedua-dua kami pernah menjadi Ketua Pemuda parti dan pada masa ini, kami juga menerajui PBB malah telah dilatih sejak dahulu lagi.

“Ini menunjukkan bahawa kita sangat matang dalam PBB. Apabila kedua-dua kami kini menjawat jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, ia menunjukkan bahawa latihan dari kepimpinan masa lalu kepada kami menjadi realiti,” jelasnya.

Abang Johari juga mengakui penurunan kuasa yang berjalan lancar ketika ini adalah sesuatu yang begitu istimewa dalam PBB, dalam erti kata lain, kepimpinan PBB harus dilatih dari bawah, bermula peringkat rendah hinggalah ke peringkat tinggi.

“Jadi apabila kita diberi amanah menjawat jawatan tinggi, kita telah tahu apa wawasan politik kita yang hendak dibawakan dan bagaimana mengurus tadbir kepimpinan parti dan negeri ini,” ujarnya.-UB
Rakyat Berbilang Kaum, Agama Akan Mendapat Layanan Dan Hak Sama Rata Rakyat Berbilang Kaum, Agama Akan Mendapat Layanan Dan Hak Sama Rata Reviewed by Unknown on March 05, 2017 Rating: 5

No comments:

ads 728x90 B
Powered by Blogger.