KUCHING: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mendedahkan menerima ‘aset penting’ daripada kerajaan persekutuan yang diberikan kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan akan mengumumkan berita baik tersebut secara rasmi dalam masa seminggu ini.
“Kita baharu sahaja menerima ‘barang’ (aset) penting daripada Datuk Najib (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) tetapi tunggu masa seminggu kelak baharu saya akan umumkan.
“Ia adalah satu aset penting yang diberikan kepada negeri (Sarawak) kita di mana ia akan memberi keuntungan selain memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.
“Dengan adanya aset penting ini kelak, saya akan gunakan sumber ini untuk mengubah cara hidup kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Kesyukuran anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Samariang di Dewan HIKMAH di sini, malam kelmarin.
Abang Johari berkata, aset penting itu juga akan menjadi Sarawak sebagai negeri kompetitif setaraf negeri maju lain dalam Malaysia.
Sejajar itu juga, Abang Johari melahirkan keyakinan akan terus membawa Sarawak ke arah status negeri maju dan moden di Malaysia.
“Anda mungkin berasakan bahawa saya ini terlalu bercita-cita tinggi, tetapi ini harapan saya. Saya mahu mengubah negeri kita iaitu Sarawak.
“Jika Singapura boleh berubah dan menjadi salah sebuah negara terkaya sedangkan mereka tidak mempunyai sumber, kenapa kita tidak boleh?
“Negeri kita kaya dengan sumber dan ia akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengubah Sarawak ke arah yang lebih baik,” jelasnya.
Dalam pada itu, Abang Johari selain dibantu pasukannya dalam pentadbiran kerajaan juga akan menukar dasar ekonomi rakyat di negeri ini.
“Pada masa ini di Sarawak, golongan muda terutama yang berusia 45 tahun ke bawah adalah sebanyak 60 peratus daripada 2.7 juta rakyat negeri kita dan mereka adalah golongan yang mahir teknologi, justeru pembangunan yang dibawakan haruslah seiring dengan harapan orang muda ini.
“Kita akan melabur dalam infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan walaupun saya tahu ia memakan kos tinggi, tetapi inilah realiti yang didepani generasi muda kita hari ini,” katanya sambil menambah dasar ekonomi baharu yang dibawakan olehnya akan selari dengan kecanggihan teknologi komunikasi mengikut peredaran semasa.
Terdahulu, Abang Johari bersama jemaah lain menunaikan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah selain membaca surah Yasin dan tahlil untuk disedekahkan kepada bekas Ketua Menteri Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
Turut hadir isteri Abang Johari Datin Amar Juma’ani Tuanku Bujang, Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Timbalan Ketua PBB Cawangan Samariang Datuk Seri Abang Khalid Marzuki.-UB
Sarawak Terima ‘Aset Penting’ Daripada Kerajaan Pusat
Reviewed by Unknown
on
March 05, 2017
Rating:
No comments: