SHAH ALAM: Akibat mencuri pelbagai barangan makanan basah termasuk sayuran di sebuah pasar raya di bandar raya ini Sabtu lalu, dua suri rumah dijatuhi hukuman penjara sehari selain masing-masing didenda RM1,000 dan RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin memutuskan demikian selepas tertuduh, Nur Ezzati Artira Abdullah, 25, dan Shaidatul Zakieah Mohd Muri, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan secara berasingan itu.
Terdahulu, mereka yang kelihatan sugul mengakui fakta kes dikemukakan pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, Nur Ezzati Artira yang juga ibu kepada dua anak didakwa melakukan kegiatan curi dalam bangunan membabitkan pelbagai daging ayam, ikan, sotong dan udang bernilai RM214.41.
Manakala Shaidatul Zakieah didakwa melakukan perbuatan sama membabitkan pelbagai jenis sayuran termasuk cili dan tomato bernilai RM28.57.
Perbuatan itu dilakukan di Checkers Hypermarket, Seksyen 15, di sini, jam 3.50 petang, Sabtu lalu.
Justeru, kedua-kedua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan pengurusan pasar raya selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan membawa dua beg keluar daripada premis.
Pemeriksaan menemui pelbagai barangan milik premis itu yang belum dibayar dan mereka diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Timbalan Pendakwa Raya Khairul Aisamuddin Abdul Rahman yang mengendalikan kes memohon hukuman setimpal berikutan barang curi itu lebih kepada kehendak tertuduh dan bukan barangan keperluan.
Shaidatul Zakieah yang juga ibu kepada empat anak dan Nur Ezzati bagaimanapun memohon hukuman ringan dan meminta maaf atas perbuatan mereka.
Siti Shakirah dalam penghakimannya memerintahkan mereka masing-masing dipenjara sebulan dan 15 hari jika gagal membayar denda.-myMetro
2 Suri Rumah Mengaku Kebas Barangan Basah
Reviewed by Unknown
on
April 27, 2017
Rating:
No comments: